Anda di sini

Ajax juara Liga Belanda kali ke-35

Advertisement
 Pemain Ajax meraikan kejayaan di atas podium selepas dinobatkan juara Eredivisie Belanda buat kali ke35 di Johan Cruijff Arena di Amsterdam.  — Gambar AFP
GAH: Pemain Ajax meraikan kejayaan di atas podium selepas dinobatkan juara Eredivisie Belanda buat kali ke35 di Johan Cruijff Arena di Amsterdam. — Gambar AFP

AMSTERDAM: Ajax memenangi kejuaraan Liga Belanda buat kali ke-35 pada Ahad dengan kemenangan bergaya 4-0 ke atas Emmen, sekali gus memberikan kelab gergasi dari kota Amsterdam itu kejuaraan Eredivise dengan berbaki tiga perlawanan musim ini.

Jurrien Timber, Sebastien Haller, Davy Klaassen dan Devyne Rensch menjaringkan gol untuk Ajax pada satu perlawanan berlangsung tanpa penonton di Johan Cruyff Arena kerana peraturan anti-COVID-19.

Kemenangan membolehkan skuad kendalian Erik ten Hag memiliki kelebihan 14 mata di singgahsana liga berbanding pencabar terdekat, PSV Eindhoven, yang hanya seri 2-2 dengan Heerenveen pada perlawanan lewat.

Ajax mengumumkan pada Jumaat bahawa mereka telah melanjutkan kontrak Ten Hag sehingga 2023, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau akan ke Borussia Dortmund dalam Bundesliga Jerman atau ke Tottenham Hotspur dalam Liga Perdana Inggeris.

“Saya berasa gembira di Amsterdam dan pengurusan memberi jaminan kepada saya bahawa skuad semasa akan dikekalkan dan malah akan diperkuatkan di beberapa posisi,” kata Ten Hag, yang sudah membimbing Ajax sejak 2017.

Walaupun desakan dari pihak berkuasa untuk mengelak sebarang perhimpunan ramai, ribuan penyokong Ajax berkumpul di luar stadium, menurut agensi berita rasmi Belanda, ANP.

Tiada juara diisytiharkan musim lepas, yang terhenti pada awal bulan Mac kerana pandemik COVID-19, dengan Ajax mendahului kedudukan liga ketika itu, selepas muncul juara pada 2019.

Mereka terus menguasai bola sepak domestik walaupun menjual beberapa pemain bintang pada musim 2018/2019 ketika pasukan itu melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara, termasuk Matthijs de Ligt ke Juventus dan Frenkie de Jong ke Barcelona.

Presiden kelab, Edwin van der Sar berkata sebelum kemenangan ke atas Emmen, Ajax mempunyai “cita-cita tinggi” dalam Liga Juara-Juara untuk beberapa musim akan datang.

“Sepuluh tahun yang lalu, sasaran kami ialah untuk kembali ke kemuncak bola sepak Eropah. Saya fikir saya boleh berkata kami telah mengotakan kata-kata kami,” kata beliau.

“Sasaran seterusnya ialah untuk memenangi kejuaraan Eropah dan menjadikan Ajax satu jenama global. Kami berusaha ke arah itu, bukan hanya di peringkat sukan tetapi juga rangkaian sosial dan pemasaran.” — AFP

Advertisement