Anda di sini

Ribuan berarak bantah sekatan COVID-19 di Kanada

Advertisement
 Penunjuk perasaan berarak membantah sekatan terbaharu COVID-19 di Montreal, kelmarin. — Gambar AFP
MENGECEWAKAN: Penunjuk perasaan berarak membantah sekatan terbaharu COVID-19 di Montreal, kelmarin. — Gambar AFP

MONTREAL: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak kelmarin di Stadium Olimpik di Montreal, melakukan rali membantah sekatan yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani gelombang ketiga pandemik koronavirus di Kanada.

Beberapa penunjuk perasaan ditangkap pada awal perarakan, menurut kepada seorang wartawan AFP, dengan petunjuk dalam orang ramai menyuarakan bantahan terhadap pemakaian pelitup muka, perintah berkurung dan pasport kesihatan.

Ramai anggota polis bersiap siaga walaupun acara dilakukan dalam suasana perayaan diiringi pukulan gendang.

Pihak polis enggan menyatakan anggaran orang awam, namun media Kanada menyatakan kehadiran adalah kira-kira 30,000, menjadikannya rali terbesar membantah sekatan COVID-19 di Quebec sejak beberapa bulan lepas.

Para penunjuk perasaan, kebanyakan tidak memakai pelitup muka dan tidak mengendahkan arahan penjarakan sosial, menyatakan sekatan yang dilaksanakan kerajaan Quebec tidak adil.

Mereka mengkritik pemakaian pelitup muka yang diwajibkan apabila berada di dalam bangunan, sekatan ke atas aktiviti berhimpun dan perintah kawalan peringkat wilayah yang dilaksanakan pada awal Januari, satu tindakan yang tidak dilihat pada skala wilayah di Kanada sejak wabak selesema Sepanyol kira-kira satu abad lepas.

Disebabkan kadar jangkitan yang perlahan, kerajaan Quebec menyatakan bermula Isnin, perintah berkurung di Montreal akan ditunda kepada jam 9.30 malam, daripada jam 8 malam waktu tempatan.

“Kami hanya meminta penamat kepada langkah kesihatan,” Daniel Pilon, yang menyatakan beliau merupakan seorang penganjur acara itu, memberitahu AFP.

“Kesan kerugian (bagi langkah kesihatan) adalah jauh lebih besar berbanding kesan kerugian yang disebabkan oleh COVID-19,” tambah beliau, menyatakan terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri dan kebankrapan.

Perdana Menteri Justin Trudeau menyatakan protes itu amat mengecewakan.

“Ironinya di sini adalah dengan perhimpunan sedemikian penduduk akan meletakkan satu sama lain dalam risiko, seterusnya menyebarkan kes COVID-19, sekali gus melanjutkan tempoh sekatan serta langkah kesihatan awam,” kata beliau.

Stadium Olimpik di Montreal merupakan salah satu kawasan vaksinasi terbesar namun terpaksa ditutup kelmarin akibat tunjuk perasaan itu.

Kanada telah merekodkan lebih 1.2 juta kes jangkitan dengan 24,200 kematian, lebih separuh daripadanya di Ontario dan Quebec. — AFP

Advertisement