Anda di sini

Pengerusi PERJASA tak mengaku salah guna kuasa babitkan RM91,300

Advertisement
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah melakukan salah guna kuasa membabitkan wang bernilai RM91,300.
Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah melakukan salah guna kuasa membabitkan wang bernilai RM91,300.

KUCHING: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan wang bernilai RM91,300 antara Januari hingga Mac 2017.

Bagi keenam-enam pertuduhan, Mohammad Hishamuddin Sulhi, 40, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Persatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PERJASA) dengan mengarahkan pekerjanya untuk mengeluarkan cek milik PERJASA secara berperingkat, untuk kegunaannya sendiri. 

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya antara Januari hingga Mac 2017, di sebuah cawangan bank di Jalan Kulas, di sini. 

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pilihan iaitu menyalahgunakan wang tunai milik PERJASA, untuk kegunaan peribadi di lokasi dan masa sama. 

Pertuduhan utama dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. 

Sebaik pengakuan direkodkan, Hakim Steve Ritikos membenarkan tertuduh diikat jamin mahkamah RM10,000 dengan dua orang penjamin tempatan untuk kesemua pertuduhan serta menetapkan 25 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement