Anda di sini

Lelaki dipenjara, cuba suap pegawai Imigresen 

Advertisement
 Tertuduh (tengah) diiring pegawai SPRM semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.
Tertuduh diiringi pegawai SPRM semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki yang bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menawarkan suapan RM1,150 kepada seorang pegawai Imigresen pada November tahun lalu.

Wong Zhong Zhen, 32, mengaku bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Dia didakwa memberi suapan berkenaan sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki menyeludup warga Indonesia yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 18 November 2020, jam lebih kurang 6.44 pagi semasa berada di jalan Bau-Lundu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen dan Akta yang sama.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Nisla Abd Latif.

Advertisement