Anda di sini

Kurang tempahan, PKP mengubah rutin kedai jahitan Redpurple 

Advertisement
 Siti menyiapkan ukuran baju yang ditempah pelanggan di kedainya.
UKUR: Siti menyiapkan ukuran baju yang ditempah pelanggan di kedainya.

KOTA KINABALU: Kemeriahan tempahan jahitan baju untuk Hari Raya yang diterima daripada pelanggan tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

Kesibukan yang dihadapi setiap tahun untuk menyiapkan semua baju pelanggan mungkin tidak lagi sama berikutan pandemik COVID-19.

Semuanya kini dalam suasana serba norma baharu. Hakikatnya sukar, namun itulah realiti yang perlu diterima Siti Raha Yusof, 45, yang juga pemilik kedai jahitan jenama Redpurple.

Di sebalik kepayahan dan cabaran yang menjejaskan operasi kedai serta hasil pendapatannya, beliau tidak pernah berputus asa dan cekal berusaha bagi memastikan kedai jahitan Redpurple terus bertahan dan kembali menjalankan bisnes seperti biasa.

"PKP memang bagi cabaran besar buat kami sebab kedai terpaksa tutup dan tidak dapat bersemuka dengan pelanggan.

"Pandemik ini paling mencabar memandangkan operasi kami memerlukan berdepan dengan pelanggan untuk mengambil ukuran. Justeru, bila diumumkan PKP, kami langsung tiada pendapatan.

"Kami cuba buat secara atas talian (online), tapi kebanyakan pelanggan  lebih suka berjumpa terus dengan kami," jelasnya kepada Utusan Borneo ketika ditemui baru-baru ini.

Begitulah antara kekangan yang terpaksa dihadapi perusahaan Siti Raha hingga menyebabkan hasil pendapatannya jatuh lebih 70 peratus.

Namun katanya, mujurlah ada bantuan yang disediakan kerajaan dan ia dapat meringankan beban terutama untuk membayar gaji pekerja.

Mengimbau kembali usahanya memulakan perniagaan pakaian, Siti berkata, pada awalnya bisnes Redpurple bermula dengan menjual pakaian pasang siap di kompleks membeli-belah 1Borneo.

Bagaimanapun, selepas beberapa tahun beliau membuat perbandingan, pakaian pasang siap hanya laris semasa musim perayaan seperti Hari Raya.

"Kebanyakan pelanggan lebih memilih menempah pakaian yang mengikut ukuran sendiri berbanding yang sudah pasang siap walaupun harganya lebih mahal.

"Sejak itu, saya mula belajar menjahit dan sambutan pelanggan begitu menggalakkan hingga saya membuka kedai jahitan Redpurple di Wisma Merdeka," katanya yang pernah bertugas sebagai juruaudit selama 16 tahun di sebuah syarikat telekomunikasi.

 Nadirah (kanan) sentiasa berbincang bersama Siti (kiri) sebelum menyiapkan lakaran pakaian rekaannya.
BINCANG: Nadirah (kanan) sentiasa berbincang bersama Siti (kiri) sebelum menyiapkan lakaran pakaian rekaannya.

Beliau berkata, selepas bisnes jahitannya semakin mendapat sambutan pelanggan, mula terfikir untuk membuat baju rekaan sendiri.

Sehubungan itu, anak sulungnya Nadirah Asmi, 23, yang mengambil jurusan rekaan fesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) mula membantunya dalam menghasilkan pakaian rekaan sendiri.

"Saya nampak minat anak saya sejak dari kecil lagi suka buat lakaran baju-baju berfesyen sampailah besar ambil bidang yang sama.

"Langkah seterusnya, saya cuba masukkan namanya dalam program 'MARA in Fashion' sebagai pendedahan yang lebih luas dan menjadi platform untuk memperkembangkan lagi bakat dan minatnya dalam bidang rekaan fesyen.

"Secara tidak langsung, ini akan membantu perusahaan jahitan saya dalam menghasilkan lebih banyak rekaan pakaian sendiri pada masa akan datang," katanya.

 Hasil jahitan pekerja sentiasa dipantau Siti untuk kualiti yang memuaskan pelanggan.
AJAR: Hasil jahitan pekerja sentiasa dipantau Siti untuk kualiti yang memuaskan pelanggan.

Ditanya mengenai tempahan baju raya tahun ini, Siti menjelaskan, seminggu sebelum puasa lagi tempahan sudah ditutup dan sekarang kira-kira 30 peratus lagi semua tempahan akan disiapkan.

Menurutnya, kebiasaan setiap tahun lebih 100 pasang tempahan baju raya akan diambil. Namun, sejak tahun lepas kurang dari 50 pasang tempahan diambil, lebih-lebih lagi tahun ini hanya pada Mac lepas barulah tempahan mula diambil.

Beliau turut faham masih ramai yang risau dan tidak pasti sama ada boleh sambut Hari Raya atau sebaliknya. Justeru, pihaknya tidak hairan tempahan baju raya masih kurang.

"Kami mula iklan di akaun media sosial Facebook dan Instagram Redpurple sejak Januari lagi, tapi pelanggan masih belum hantar tempahan mungkin tidak tahu lagi ada Hari Raya atau tidak.

"Selepas diumumkan bazar dibenarkan barulah ada masuk tempahan, itupun dalam pertengahan Mac dan kebanyakan tempahan daripada pelanggan sedia ada," katanya.

Siti berkata, setiap tahun tempahan baju kurung paling banyak diterima dan harga yang ditawarkan untuk baju kurung moden dan asli yang standard sekitar RM75 hingga RM80, manakala baju Melayu sekitar RM135 hingga RM150.

Melihat kepada keadaan ekonomi sekarang, terutama dalam norma baharu, beliau sentiasa memikirkan apa langkah seterusnya yang perlu diambil bagi memastikan bisnes jahitannya kekal bertahan.

Pada masa inilah, daya kreativiti dan pemikiran 'di luar kotak' diperlukan untuk mencari idea lain agar hasil titik peluh yang diusahakan selama ini tidak disia-siakan.

"Sebelum PKP, kami ada membuat rundingan dengan beberapa hotel untuk menjadi penyedia pakaian uniform hotel dan ada beberapa hotel sudah memberikan respon dan meminta cadangan rekaan dan harga.

"Namun disebabkan PKP, cadangan berkenaan terpaksa ditangguhkan dulu. Sebelum ini pun kami memang menerima tempahan untuk pakaian uniform," katanya.

Mungkin apa yang dirancang tidak semuanya berjalan lancar seperti yang diinginkan. Namun Siti dan pasukannya tidak mudah berputus asa dengan cabaran yang datang.

Fokus untuk sentiasa menjaga kualiti dan keunikan jenama Redpurple sentiasa dijaga demi kepuasan pelanggan.

Beliau turut berharap keadaan pandemik COVID-19 ini akan cepat beransur pulih dan ekonomi kembali berkembang rancak agar bisnes jahitannya dapat beroperasi seperti biasa walaupun dalam keadaan norma baharu.
 

  • oleh
  • Advertisement