Anda di sini

Dasar galakkan penanaman jagung untuk makanan haiwan dilaksana

Advertisement
Ronald bersama timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Haslina Abdul Hamid (dua, kiri) singgah di gerai menjual rempeyek kacang selepas merasmikan Program My Best Buy Aidilfitri di kementeriannya hari ini. - Gambar Bernama 
Ronald bersama timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Haslina Abdul Hamid (dua, kiri) singgah di gerai menjual rempeyek kacang selepas merasmikan Program My Best Buy Aidilfitri di kementeriannya hari ini. - Gambar Bernama 

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melaksanakan dasar yang menggalakkan lebih ramai menceburi industri penanaman jagung untuk makanan haiwan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata dasar jangka panjang itu akan dikeluarkan kerana kerajaan tidak lagi mahu bergantung kepada jagung atau dedak dari negara luar. 

“Kenaikan harga dedak dan jagung adalah kerana harganya dipengaruhi oleh pasaran dunia dan ia di luar kawalan kerajaan. Kita perlu galakkan lebih ramai pihak ceburi industri penanaman jagung ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program My Best Buy Aidilfitri di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport adalah antara penyebab utama peningkatan harga ayam.

Mengenai program Program My Best Buy Aidilfitri, beliau berkata program itu dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini di 188 buah lokasi yang dikenal pasti oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara. 

Program yang dianggarkan mencatatkan nilai jualan lebih RM77 juta itu adalah untuk membantu usahawan kecil mempromosi produk pertanian dan bukan pertanian bagi keperluan setempat dengan harga yang istimewa dan berpatutan, katanya.

Pada majlis itu juga, beliau melancarkan Buku Inspirasi Agropreneur Muda yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua usahawan agropreneur muda di seluruh negara, yang merakamkan kejayaan dan usaha penerima bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) pada 2016 hingga 2020.

“Kejayaan pelaksanaan program-program ini direkodkan dalam buku ini adalah sebagai tanda usaha berterusan MAFI menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian dan agromakanan,” katanya. - Bernama 

Advertisement