Anda di sini

Bunuh tanpa niat, warga Indonesia dihukum penjara dan sebat

Advertisement
Kasim (kiri) dibawa keluar dari bangunan mahkamah menuju ke kenderaan polis setelah dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan membunuh dan mencederakan empat tahun lalu.

MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh tanpa niat seorang pembantu pengurus projek dan mencederakan dua rakan senegara, empat tahun lalu.

Hukuman terhadap Kasim Katanni, 30, dari Tondong, Sulawesi, Indonesia itu dijatuhkan Hakim Dean Wayne Daly setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah, rayuan, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Ketika membacakan keputusannya, Dean berkata dengan mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan (pertama) dan dua tuduhan asal (kedua dan ketiga), tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Selain itu, berdasarkan fakta kes, jelas menunjukkan bahawa tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada polis dengan menunjukkan di mana dia menyembunyikan pisau yang digunakan untuk menikam ketiga-tiga mangsa dalam kes ini.

Kasim Katanni, 30, dari Tondong, Sulawesi, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana melakukan pembunuhan tanpa niat hingga menyebabkan kematian Yusuf Sidani Sampe, 46.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia turut didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dua yang lain iaitu Peri dan Markurius Robin yang merupakan warganegara Indonesia.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 8 malam, 15 April 2017 di sebuah kantin di Kampung Kayu Kapur, Bekenu.

Menurut keterangan kes, sekitar jam 8.07 malam, 15 April 2017, seorang anggota polis bertugas ada menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan ada pergaduhan berlaku di tepi jalan Kampung Kayu Kapur, Bekenu.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bekenu telah bergegas ke tempat kejadian dan setiba di sana sekitar jam 8.40 malam, mereka dapati seorang lelaki terbaring dalam posisi meniarap tanpa sedarkan diri serta berlumuran darah dipercayai telah meninggal dunia.

Manakala dua yang lain masing-masing terbaring di atas sebuah meja panjang dan timbunan kayu di hadapan kantin berkenaan.

Hasil pemeriksaan yang dilakukan anggota paramedik di tempat kejadian mengesahkan lelaki yang terbaring berlumuran darah telah meninggal dunia. Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Manakala dua yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Bekenu untuk rawatan sewajarnya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 5.15 petang, 18 April 2017 di tepi jalan Kampung Skrate, KM124 Jalan Miri-Bintulu, Batu Niah polis telah menangkap tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Berikutan tangkapan itu, tertuduh telah memandu arah polis ke rumahnya untuk merampas sebilah 'badek' yang digunakannya untuk menikam si mati dan mencederakan dua yang lain serta sehelai baju yang digunakannya semasa kejadian.

Hasil siasatan lanjut polis mendapati kejadian berpunca dari perselisihan faham antara tertuduh dan Peri serta Markurius disebabkan tayar motosikal mereka bergesel dengan satu sama lain hingga menyebabkan rasa tidak puas hari di antara kedua-dua pihak.

Tertuduh kemudian bertindak menyerang Peri dan Markurius menggunakan sebilah badek yang dibawanya sebelum menikam mangsa di bahagian dada menggunakan senjata yang sama.

Manakala hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si mati disebabkan tikaman yang dalam di bahagian dada.

Sementara Peri luka di bahagian usus dan bawah punggung, manakala Markurius cedera di dada kanan, belakang serta jari kiri disebabkan objek tajam.

Terdahulu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setelah 16 orang saksi pendakwa dipanggil memberi keterangan, peguambela dilantik Ranbir Singh yang mewakili tertuduh mengusulkan agar tuduhan (pertama) diturunkan ke Seksyen 304 (a) berikutan perbicaraan kes terpaksa ditangguhkan disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tertuduh kemudian mengaku bersalah atas tuduhan pindaan itu pada Jumaat lepas.

Setelah menimbangkan semua aspek, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun bagi tuduhan pertama dan lima tahun serta dua sebatan masing-masing untuk tuduhan kedua dan ketiga.

Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan serentak berkuatkuasa mulai tarikh tangkapan pada 18 April 2017.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji.

  • oleh
  • Advertisement