Anda di sini

Beraya dalam norma baharu

Advertisement
 Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan (dari kiri) Denney,
TERIMALAH: Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima sambil disaksikan (dari kiri) Denney,

LIMBANG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan tidak terkecuali menyambut Aidilfitri untuk tahun kedua kali ini dalam suasana norma baharu, termasuk menyesuaikan diri menyambutnya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebagai usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Beliau berkata, meskipun dalam suasana norma baharu beliau sekeluarga turut membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri dalam keadaan sederhana.

“Sedih juga, memang sedih, terutama pada Hari Raya pertama selepas kita menunaikan solat Aidilfitri.

“Tetapi ini terpaksa kita korbankan, walaupun berbeza dari segi suasana, tetapi kita boleh berhubung dengan ahli keluarga yang tidak dapat pulang beraya melalui platform media sosial,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri LAKIL di Dewan Bunga Raya di sini, kelmarin.

Mengiringi beliau ialah Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosli dan Bendahari LAKIL Limbang Mahmud Amit.

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu juga berkata, seperti Aidilfitri yang lepas masyarakat Islam boleh berhubung melalui aplikasi Zoom, panggilan video dan platform lain bersama keluarga yang tidak dapat pulang beraya.

“Meskipun beraya dalam suasana norma baharu, platform media sosial ini boleh kita gunakan untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Awang Tengah yang turut meraikan Aidilfitri dalam suasana norma baharu tahun lepas berkata beliau turut memanfaatkan teknologi melalui platform media sosial untuk berhubung dengan ahli keluarganya yang tidak dapat pulang beraya.

“Malah acara memotong kek Hari Raya bersama keluarga saya juga dibuat secara maya tahun lepas, inilah realiti, ini norma baharu yang perlu diikuti.

“Saya juga berhubung dengan abang saya dan ahli keluarga di Lawas dan Brunei melalui aplikasi Zoom, kami bermaaf-maafan dan kemungkinan keadaan sama untuk tahun ini,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement