Anda di sini

Tiada perbincangan dengan Putrajaya mengenai PKP di Sarawak - Uggah

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak kekal berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meskipun terdapat spekulasi bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuatkuasakan mulai esok.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata mereka tidak mengetahui mengenai sebarang keputusan di peringkat persekutuan yang mengisytiharkan PKP akan berkuat kuasa esok seperti dilaporkan, bagi menghentikan penyebaran COVID-19.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  berkata, Sarawak belum mengadakan sebarang perbincangan dengan Putrajaya mengenai perkara itu.

"Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku. Pada masa ini, kita berada di bawah PKPB," katanya ketika dihubungi The Borneo Post hari ini.

Uggah berkata, JPBNS akan mengumumkan secepat mungkin jika keputusan yang berbeza mengenai penguatkuasaan perintah larangan pergerakan.

Ditanya adakah Sarawak akan memutuskan untuk mengisytiharkan PKP bagi mengentikan rantaian jangkitan COVID-19 secara efektif, beliau berkata: "Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi."

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bahawa lima negeri termasuk Sarawak akan diletakkan di bawah PKP mulai esok (3 Mei).

Pada 26 April, JPBNS mengumumkan untuk melanjutkan PKPB sehingga 17 Mei memandangkan keadaan pandemik COVID-19 semasa di Sarawak.

Selain PKPB, kawasan berisiko tinggi di seluruh negeri telah dan sedang ditempatkan di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk mengekang penularan wabak ini.

Semasa PKP dikuatkuasakan di seluruh negara tahun lalu, orang ramai dikawal ketat untuk berada di rumah masing-masing dengan pergerakan yang sangat terhad, waktu perniagaan dikurangkan dan tidak dibenarkan makan di luar.

Advertisement