Anda di sini

COVID-19: Thailand catat 21 lagi kematian

Advertisement
 

BANGKOK: Thailand mencatat 21 kes kematian baharu akibat COVID-19, angka harian tertinggi sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lepas, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 224 orang ketika negara tersebut memulakan sekatan lebih ketat pada Sabtu dalam usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan virus yang merebak lebih pantas.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatat 1,891 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu setakat ini ialah 67,044 dengan 224 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kematian baharu membabitkan 12 wanita dan sembilan lelaki berumur lingkungan 39 hingga 90 tahun dengan purata tempoh jangkitan hingga kematian ialah lima hari.

Beliau berkata daripada 1,891 kes baharu, sebanyak 1,884 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,799 kes yang mendapatkan rawatan di hospital dan 85 daripada pengesanan kes aktif manakala tujuh merupakan kes import.

“Sebanyak 38,181 kes baharu dan 130 kematian dilaporkan ketika gelombang ketiga jangkitan yang bermula pada 1 April. Sepanjang tempoh 24 jam lepas, sejumlah 1,821 pesakit didiscaj dari hospital manakala 28,745 masih menerima rawatan termasuk 20,750 di hospital dan 7,970 di hospital medan.

“Jumlah pesakit yang berada dalam keadaan kritikal ialah 829 dan 270 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya pada taklimat harian COVID-19 pada Sabtu.

Bermula Sabtu, Thailand mengenakan tindakan lebih keras bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam seluruh negara atau berdepan denda sehingga 20,000 baht (RM2,628).

Selain itu, pihak berkuasa melarang makan di restoran di Bangkok serta lima wilayah yang diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko paling tinggi manakala taman awam, gimnasium, pusat hiburan dan institusi pendidikan ditutup di kesemua wilayah terbabit.

Setakat ini, sejumlah 15 wilayah mengenakan perintah berkurung yang ringan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memperlahankan kadar jangkitan. 

Sementara itu, Thailand menghantar sebuah pesawat khas ke India pada Sabtu bagi membawa pulang rakyat Thailand termasuk tiga pegawai kedutaan yang dijangkiti COVID-19.

Selain itu, Thailand menghantar sejumlah 25 unit mesin oksigen dan katil sementara kepada Persatuan Palang Merah India bagi menangani peningkatan mendadak kes COVID-19. 

Sementara itu, Thailand pada Sabtu memulakan pendaftaran vaksinasi COVID-19 bagi rakyat negara itu yang berusia 60 dan ke atas dengan pesakit yang menghidap pnyakit kronik seperti sindrom pernafasan yang teruk, penyakit jantung dan koronari, penyakit serebrovaskular, diabetes serta kanser diberi keutamaan.

Kementerian Kesihatan Awam menyasarkan untuk memvaksinasi 16 juta orang melalui pendaftaran kumpulan pertama, lapor akhbar The Nation.

Vaksinasi secara massa di Thailand akan bermula pada Jun apabila kumpulan pertama dos vaksin COVID-19 jenama AstraZeneca yang dihasilkan di negara itu boleh didapati.

Thailand menyasarkan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Advertisement