Anda di sini

Sumbangan Aidilfitiri dan Gawai berjumlah RM4.2 juta

Advertisement
Fatimah turut serta dalam aktiviti memasak bubur lambuk di ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, hari ini.
Fatimah turut serta dalam aktiviti memasak bubur lambuk di ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, hari ini.

KUCHING: Seramai 42,094 penerima bantuan kebajikan di Sarawak akan menerima RM100 seorang sebagai sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai menerusi Program Sejambak Kasih Raya Gawai 2021 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan yang berjumlah keseluruhan RM4,209,400.00, akan dikreditkan ke akaun penerima.

Menurutnya, 15,471 orang akan menerima sumbangan ini sempena Hari Raya Aidilfitiri dengan jumlah RM1,547,100.00, manakala sempena Hari Gawai ia membabitkan 26,623 orang yang berjumlah RM2,662,300.00.

"Program ini merupakan antara program tahunan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) setiap musim perayaan yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu Fatimah berkata dari Januari hingga April 2021, JKMS telah menyalurkan perbelanjaan RM20,102,900.00 untuk 50,618 orang penerima bantuan bulanan.

Sementara itu, kakitangan ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak di sini hari ini mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk sempena Ramadan.

Aktiviti memasak bubur lambuk merupakan aktiviti yang bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim serta memupuk semangat bekerjasama di kalangan kakitangan ibu pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak.

Aktiviti ini dijalankan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya penggunaan pelitup separuh muka, penjarakkan fizikal dan penggunaan cecair pensanitasi tangan.

Advertisement