Anda di sini

Penganggur dipenjara, baling telefon ke muka bekas isteri

Advertisement
 

KUCHING: Gara-gara mencederakan bekas isteri dengan membaling telefon bimbit ke mukanya, seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohd Shahdina Syarmin Abdul Rahman, 23, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 10 Mac lalu, jam lebih kurang 8 malam di Kampung Tabuan Foochow.

Mengikut keterangan kes, tertuduh bertindak membaling telefon bimbit ke arah muka mangsa berusia 40 tahun itu kerana tidak tahan dengan sikap mangsa dan juga tidak berpuas hati apabila mangsa meninggikan suara.

Akibat kejadian itu, pipi sebelah kiri mangsa mengalami lebam.  

Difahamkan, tertuduh turut pernah mencekik leher serta menghentak kepala mangsa ke dinding kerana mangsa lambat mengikut kehendaknya. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Dalam pada itu, mahkamah ketika menjatuhkan hukum memerintahkan agar hukuman penjara dikuatkuasakan mulai tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Mac lalu.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement