Anda di sini

Pecah amanah, pemandu lori dihukum penjara

Advertisement
Hanafiah (tengah) bersama Yong (kiri) keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukuman.
Hanafiah (tengah) bersama Yong (kiri) keluar dari kamar mahkamah selesai dijatuhkan hukuman.

KUCHING: Seorang pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara setahun dan dikenakan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan pecah amanah membabitkan wang RM1,008.70.

Hakim Jason Juga turut memerintahkan tertuduh Mohammad Hanafiah Omar, 46, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut untuk dikenakan denda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut sebagai pemandu lori yang diamanahkan dengan wang syarikat berjumlah RM1,008.70, didakwa melakukan pecah amanah jenayah pada 3 Disember 2020.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditugaskan untuk menghantar barang sehingga habis waktu bekerja dan mengutip wang tunai daripada enam pembeli. 

Tertuduh membawa pulang wang tersebut dan sepatutnya menyerahkannya kepada syarikat hari berikutnya. 

Bagaimanpun, tertuduh tidak turun ke pejabat dan gagal dihubungi.

Oleh itu, tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan selepas mengaku bersalah mengambil dadah berulang kali. 

Yong Chieng Nieng, 34, didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 7 Februari lalu, jam 8.30 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching. 

Mahkamah turut dimaklumkan tertuduh mempunyai tiga sabitan lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah pada tahun 2019 dan 2020, juga di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) akta sama, penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebat.

Pendakwaan bagi kedua-kedua kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan. 

  • oleh
  • Advertisement