Anda di sini

Tukang kabinet dapur tak mengaku tipu RM80 ribu 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang tukang kabinet dapur mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 26 pertuduhan menipu pelanggannya, sehingga mengakibatkan kerugian hampir mencecah RM80,000.

Sim Siaw Siong, 36, membuat pengakuan tersebut sebaik semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan Majistret Zaiton Anuar.

Tertuduh didakwa atas 26 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebat serta bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki tersebut didakwa menipu mangsa dengan memperdayakan mangsa bahawa dia boleh menyediakan perkhidmatan pembinaan kabinet dapur. 

Sehubungan itu, tertuduh telah mendorong setiap seorang daripada mangsa untuk membayar deposit bagi kerja-kerja tersebut. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya secara berperingkat antara Jun 2020 hingga awal April tahun ini, membabitkan wang berjumlah RM80,000. 

Difahamkan, seramai lebih kurang 20 pengadu tampil membuat laporan polis selepas tertuduh didapati tidak membuat kerja pemasangan kabinet dapur di rumah mereka.

Sebaik pengakuan direkodkan, Majistret Zubaidah membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin RM3,000 berserta dua penjamin tempatan bagi setiap lapan pertuduhan dihadapinya. 

Majistret Syarifah pula memberikan ikat jamin RM2,000 beserta seorang penjamin tempatan dengan deposit Rm1,000 bagi setiap sembilan pertuduhan. 

Sementara itu, Majistret Zaiton membenarkan tertuduh bebas bebas dengan ikat jamin RM1,500 berserta seorang penjamin tempatan bagi setiap pertuduhan selebihnya.

Dalam pada itu juga, Zubaidah dan Zaiton  masing-masing menetapkan pengurusan kes pada 9 Mei depan manakala Syarifah pula, pada 8 Mei. 

Tertuduh diwakili peguam dari Camillus, Norman & Partners Advocates.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang dan Inspektor Mohd Adzmei Ahmad. 

  • oleh
  • Advertisement