Anda di sini

Pukul punggung dua kali, enam bulan dalam penjara

Advertisement
 

MIRI: Seorang duda dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan sekali sebatan oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang pembantu perubatan.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah Iswandy Jamin, 44, dari Kampung Pengkalan, Lutong di sini mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada 23 April lalu, seorang wanita telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu, 26, yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Hospital Miri mendakwa sekitar jam 10.30 pagi hari sama, semasa berada di Kaunter Pendaftaran B, Jabatan Trauma dan Kecemasan hospital berkenaan, beliau telah dicabul oleh seorang pesakit lelaki.

Lelaki terbabit dengan sengaja datang dari arah belakang dan memukul bahagian punggung kirinya menggunakan tangan sebanyak dua kali.

Perbuatan lelaki itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup yang dipasang di kawasan itu dan pengadu kemudian mendapat salinan rakaman untuk dijadikan bukti.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3 petang hari sama, polis berjaya menangkap tertuduh di hadapan Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Miri kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang merupakan duda anak satu merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Sambil menangis, tertuduh memberitahu bahawa dia tidak sengaja berbuat demikian dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama di masa akan datang.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement