Anda di sini

Pengawal keselamatan didenda RM1,500 cenderakan anggota Polis Bantuan

Advertisement

SIBU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencederakan seorang anggota Polis Bantuan.

Rubt Dundang, 41, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, Rubt didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota Polis Bantuan di PUSPAKOM Sibu pada 22 April lalu, kira-kira jam 6.50 petang.

Bagi pertuduhan itu, dia  didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bertugas sebagai anggota Polis Bantuan dipukul oleh tertuduh yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di PUSPAKOM Sibu.

Akibat dipukul oleh tertuduh, mangsa yang turut bertugas di PUSPAKOM Sibu mengalami kecederaan di kening kiri.

Kejadian berlaku kerana mangsa tidak membenarkan tertuduh menggantikan syif kerjanya.

Tertuduh dibebaskan setelah membayar denda.

Advertisement