Anda di sini

Hanya lambaian di sempadan dapat melepas kerinduan

Advertisement
 Amizah (kanan) ketika berada di sempadan Pos Kawalan Lumapas Brunei.
MELEPAS RINDU: Amizah (kanan) ketika berada di sempadan Pos Kawalan Lumapas Brunei.
 (Dari kiri) Joyah, Matail dan anak lelaki mereka ketika berada di Pos Kawalan Pendam.
BERTEMU DARI JAUH: (Dari kiri) Joyah, Matail dan anak lelaki mereka ketika berada di Pos Kawalan Pendam.

LIMBANG: “Hanya dapat melambai dari jauh, terubat rindu  melihat wajah ibu dan ayah walaupun tidak dapat memeluk mereka,” luah Amizah Matail@Jali, 32, dari Brunei yang nekad berjumpa ayah dan ibunya di kawasan sempadan Brunei dan Limbang, Malaysia baru-baru ini.

Wanita berkenaan dipercayai telah lama tidak berjumpa ibu dan bapanya disebabkan larangan merentas negeri.

Amizah turut berkongsi detik-detik itu apabila dapat melihat wajah ayah, ibu dan adik lelakinya di pagar sempadan antara Pos Kawalan Lumapas, Brunei kira-kira 30 meter dari Pos Kawalan Pendam, Malaysia.

“Hanya Allah saja yang tahu kesedihan ini kerana tidak dapat berjumpa orang tua.

“Perasaan bercampur baur kerana bimbang dengan kesihatan mereka, rindu yang tidak tertanggung,” katanya ketika berkongsi dengan Utusan Borneo di sini, semalam.

Amizah menetap di Brunei mengikut suaminya dan tidak dapat bertemu orang tuanya di Limbang lebih setahun lalu akibat penutupan sempadan oleh negara jiran Brunei dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Malaysia Mac tahun lepas.

“Bagi menghilangkan kerinduan, saya kuatkan hati pergi ke hujung Pos Kawalan Lumapas yang merupakan sempadan antara Brunei dan Malaysia dengan memohon kebenaran daripada pihak berkuasa Brunei yang ber-tugas untuk melihat wajah dan ibu yang berada Pos Kawalan Kampung Pendam.

“Kami hanya sempat melambai-lambai tangan dari kejauhan 30 meter, walaupun jauh tetapi saya berasa lega dapat melihat mereka walaupun kerinduan ini masih belum hilang,” ujarnya.

Anak kelima daripada sembilan adik beradik itu mengakui kesukaran rentas sempadan untuk bertemu keluarganya berbanding adik beradik yang lain yang menetap di Limbang dan Miri.

Jelas Amizah, setiap kali berkongsi panggilan video, dia tidak dapat menahan tangisan.

Tambahnya lagi, ibu bapanya juga tidak dapat mengunjunginya di Brunei sewaktu sepupunya meninggal baru-baru ini kerana kesukaran merentas sempadan.

“Kali terakhir saya bertemu dengan ibu dan ayah pada Mac tahun lepas di sebuah kedai di Kuala Lurah, kawasan Tedungan  sebelum PKP dikuatkuasakan,” ujarnya.

Matail@Jali Serudin, 60, dari Lupak Rangas dekat sini pula meluahkan kesyukuran dapat melihat wajah anaknya itu meskipun sekadar dari jarak kira-kira 30 meter di kawasan sempadan dua negara itu baru-baru ini.

“Sekarang tidak dapat rentas sempadan, memang sukar untuk bertemu dengan anak saya Amizah yang berada di Brunei,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Jelasnya, pertemuan di pagar sempadan hampir sejam itu menyebabkan isterinya Sialai@Joyah Nudin, 57, tidak dapat menahan tangisan melihat anaknya di kejauhan.

“Paling sedih memanglah ibu Amizah sebab dah lama tak dapat berjumpa anaknya yang berada di Brunei,” ujarnya.

Bagaimanapun mereka gembira dapat bertemu walaupun dari jarak jauh untuk melepaskan kerinduan.

“Pertemuan ini memang dirancang awal atas permintaan anak saya Amizah yang sudah lama tidak melihat wajah ayah dan ibunya yang sebelum ini hanya berhubung melalui telefon.

“Syukur atas pertemuan ini, memang sebak tetapi kami gembira dapat melihat Amizah dari jauh,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement