Anda di sini

Dua lelaki didakwa atas tuduhan merasuah penjawat awam 

Advertisement

SIBU: Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau dua bulan penjara terhadap dua lelaki atas kesalahan memberi rasuah.

Wong Dek King, 56, dan Ling Sieng Wei, 49, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa bersama memberi rasuah berjumlah RM30,000 kepada seorang penjawat awam sebagai dorongan bagi menyembunyikan kesalahan memiliki anggota haiwan terlindung.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Bulatan RTM di sini pada 23 Julai 2020, antara jam 10 hingga 11 pagi.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, dua lelaki dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara atas tuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam.

Wong Sing Hoe, 30, dan Ling Ting Sui, 40, didakwa bersama terdahulu mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif yang dibacakan.

Kedua-dua mereka didakwa memberi rasuah wang tunai RM5,000 kepada penjawat awam agar tidak mengambil tindakan terhadap mereka atas kesalahan memiliki hasil hutan tanpa lesen.

 Wong dan Ling didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sungai Bidut di sini pada 19 November 2018, antara jam 12 tengah malam hingga 1.55 pagi.

Untuk pertuduhan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 214 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Advertisement