Anda di sini

Berada di pusat karaoke lebih masa, empat warga Indonesia didenda

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki dan tiga wanita warga Indonesia didenda RM5,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana berada di sebuah pusat karaoke melebihi tempoh waktu yang dibenarkan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga mengarahkan Amela Wilson Mogon, 36, Ana Maria, 43, Wika Sarep, 38 dan Kristiani Alina, 37, untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. 

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama telah mengingkari arahan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dengan berada di dalam sebuah premis selepas tamat masa beroperasi yang dibenarkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 21 April lalu, jam 10.30 malam di sebuah pusat karaoke terletak di Jalan Wan Alwi, di sini.

Berdasarkan keterangan kes, sepasukan anggota polis membuat pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB di premis berkenaan dan mendapati ia masih lagi beroperasi, selain mendapati masih terdapat pengunjung di dalamnya.

Kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21A(2) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement