Anda di sini

Penganggur dijel 18 bulan kerana cederakan datuk dan nenek

Advertisement
 

KUCHING: Perbuatan seorang penganggur lelaki yang mencederakan datuk dan neneknya dalam satu kejadian pada 22 April lalu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Alexsandro Sebastian, 23, mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan berasingan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda tersebut didakwa dengan sengaja mencederakan neneknya yang berusia 68 tahun dengan menumbuk mangsa di bahagian dahi dan menendangnya di dada. 

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh dengan sengaja mencederakan datuknya, 71, dengan cara mencekik leher mangsa dan kemudian memasukkan kepala mangsa ke dalam tong berisi air. 

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 22 April lalu, jam lebih kurang 2 petang di kediaman mereka di Kampung Kudei Baru, Jalan Nanas Barat di sini. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh tiba-tiba bertindak agresif dan kedua-dua mangsa tidak mengetahui punca tertuduh bertindak demikian. 

Akibat perbuatan tersebut juga, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan seperti bengkak, kesakitan dan lebam di bahagian badan mereka. 

Sehubungan itu, Majistret Zubaidah Sharkawi dalam menjatuhkan hukum menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, 18 bulan penjara. 

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan kedua-dua hukuman penjara berkuat kuasa mulai hari ini. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement