Anda di sini

Dua warga asing miliki 75 ekor burung spesies terlindung dipenjara, denda RM146,000

Advertisement
Mosekdi dan Achmad (bergari) dieskot keluar dari kamar Mahkamah Sesyen oleh dua pegawai SFC setelah dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana memiliki hidupan terlindung secara haram.
Mosekdi dan Achmad (bergari) diiringi keluar dari kamar Mahkamah Sesyen oleh dua pegawai SFC setelah dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana memiliki hidupan terlindung secara haram.

MIRI: Dua lelaki warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara 21 bulan dan denda RM146,000 atau tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen kerana kesalahan memiliki 75 ekor burung dari spesies terlindung secara haram.
    
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes serta mengambil kira berat kesalahan dilakukan mereka.
    
Mosekdi, 34, dan Achmad Yani, 30, kedua-duanya dari Indonesia, didakwa mengikut Seksyen 29 (2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Bab 26) yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan tuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati memiliki tujuh ekor burung murai batu yang merupakan spesies haiwan terlindung tanpa mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh pihak Kontroler Hidupan Liar.
    
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.15 malam, 20 April lalu di sebuah premis di Jalan Bakam di sini.
    
Selain itu, kedua-dua tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 37 (2) (c) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
    
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM2,000 bagi setiap ekor haiwan yang dimiliki.
    
Mengikut pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati ada memiliki sebanyak 68 ekor burung dari pelbagai spesies bukan terlindung dan terlindung sepenuhnya terdiri daripada Terkukur (28 ekor), Merbuk (22), Punai Zamrud (6), Murai Kampung (3), Punai Siul (3), Merbah Kapur (2), Perling Pipi Perang (3) dan Tirjur Ekor Panjang (1) tanpa mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh pihak Kontroler Hidupan Liar.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka pada masa dan di tempat sama.
    
Menurut keterangan kes, sekitar jam 8.15 malam, 20 April lalu, sepasukan pegawai dari pejabat Sarawak Forestry Corporation (SFC) Wilayah Miri diketuai James Jini telah menyerbu sebuah premis di Jalan Bakam di sini.
    
Dalam serbuan itu, mereka telah menahan tiga lelaki warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.
    
Hasil pemeriksaan lanjut di premis itu telah menjumpai 78 ekor burung pelbagai spesies yang merupakan hidupan liar dan terlindung berserta sangkar.     
    
Burung-burung itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan ketiga-tiga suspek ditangkap untuk tindakan lanjut.
    
Hasil siasatan lanjut mendapati hanya Mosekdi dan Achmad yang memiliki burung-burung itu tanpa mempunyai sebarang lesen sah.
    
Bagi kesalahan pertama, kedua-dua tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara.
    
Manakala bagi kesalahan kedua, mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM136,000 atau empat bulan penjara.
    
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 20 April lalu.
    
Mahkamah turut memerintahkan mereka dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
    
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Sapri.

  • oleh
  • Advertisement