Anda di sini

82 korban kebakaran hospital di Baghdad

Advertisement
 Ahli keluarga dan sanak saudara meratapi mangsa tragedi kebakaran Hospital Ibn Al-Khatib semasa perarakan pengebumian di makam Imam Ali di Najaf, kelmarin. — Gambar AFP
PILU: Ahli keluarga dan sanak saudara meratapi mangsa tragedi kebakaran Hospital Ibn Al-Khatib semasa perarakan pengebumian di makam Imam Ali di Najaf, kelmarin. — Gambar AFP

BAGHDAD: Lebih 80 disahkan maut semalam dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah hospital Baghdad bagi pesakit COVID-19 kelmarin, mencetuskan kemarahan umum dan pemecatan pegawai kanan yang mengawasi perkhidmatan kesihatan yang goyah.

Kebakaran di hospital Ibn al-Khatib di timur Baghdad bermula apabila beberapa silinder oksigen yang disimpan meletup, menurut pihak perubatan.

Kebanyakan mangsa menggunakan alat bantuan pernafasan dan melecur atau lemas terhidu asap dalam kebakaran tersebut.

“Dalam masa hanya tiga minit kebakaran itu merebak ke tingkat lain di hospital," menurut perkhidmatan bomba.

Pihak kementerian kesihatan menyatakan 82 orang telah terkorban dan 110 tercedera, sementara Suruhanjaya Hak Asasi Iraq menyatakan 28 daripada mangsa adalah pesakit yang telah dilepaskan daripada alat bantuan pernafasan untuk menyelamatkan diri dari kebakaran.

Kebakaran merebak ke beberapa tingkat lain waktu tengah malam semasa beberapa ahli keluarga sedang melawat pesakit di unit rawatan rapi, menurut seorang sumber perubatan.

Bakr Qazem, anak lelaki kepada salah seorang mangsa, menyatakan beliau berada di hospital ketika berasakan satu letupan yang kuat.

“Kami melihat satu kebakaran dan tidak mampu untuk menyelamatkan para pesakit,” beliau memberitahu AFP sambil menangis dari Najaf, bandar suci Syiah di mana beliau membawa mayat ayahnya untuk pengebumian.

Sepanjang hari, perarakan pengebumian memenuhi bandar di mana majoriti besar penduduk Syiah Iraq dikebumikan.

Menurut kepada perkhidmatan bomba Iraq, pihak hospital tidak memiliki sistem perlindungan kebakaran dan siling palsu yang membolehkan api merebak ke barangan yang mudah terbakar.

Ia menambah bahawa anggota bomba lambat sampai ke hospital tersebut yang terletak di luar bandar terpencil Baghdad.

Perdana Menteri Mustafa al-Kadhemi memecat Menteri Kesihatan Hassan al-Tamimi, yang disokong pemimpin Syiah berkuasa  Moqtada Sadr, sebagai sebahagian daripada siasatan yang turut menyasari gabenor Baghdad.

Kebakaran tersebut mencetuskan kemarahan dalam media sosial, dengan ramai pihak menuntut agar menteri kesihatan dipecat.

Briged Hezbollah, salah satu puak pro-Iran paling radikal di Iraq, bagaimanapun kelmarin menuntut agar kerajaan dimansuhkan.

Kadhemi, dalam satu ciapan, menggesa rakyat Iraq agar bersatu dalam perpaduan dan untuk mengelak daripada bermain politik dengan kejadian malang yang dialami negara.

Beliau  turut mengumumkan perkabungan rasmi selama tiga hari dan menyumbang 10 juta dinar bagi keluarga setiap mangsa.

Parlimen menumpukan sesi semalam untuk membincangkan tragedi tersebut.

Beberapa saksi menyatakan pengosongan hospital adalah perlahan dan kelam-kabut, dengan para pesakit dan ahli keluarga mereka bersesak di ruangan tangga ketika mereka berebut ke pintu kecemasan.

“Orang awam yang tercedera,” Amir, 35, memberitahu AFP, menyatakan beliau telah menyelamatkan saudaranya yang dimasukkan ke hospital.

Hospital di Iraq dilumpuhkan konflik selama beberapa dekad dan kurang pelaburan yang menyebabkan kekurangan segala-galanya daripada ubat-ubatan hingga katil  hospital.

Ramai rakyat Iraq mempersalahkan kecuaian dan rasuah atas kejadian tersebut.

Suruhanjaya Hak Asasi Iraq mengecam jenayah terhadap pesakit yang dijangkiti COVID-19 di mana berbanding menerima rawatan, mereka malahan terkorban dalam kebakaran.

Beberapa saksi dan doktor memberitahu AFP banyak mayat yang rentung teruk masih belum dikenal pasti.

Pada petang kelmarin satu lagi kebakaran berlaku, kali ini di sebuah pusat beli-belah di bandar tengah Kirkuk namun tiada kematian yang segera dilaporkan.

Salah seorang mangsa dalam kebakaran hospital, Ali Ibrahim, 52, telah menerima rawatan di fasiliti Ibn al-Khatib dan dikebumikan keluarganya di kawasan berhampiran kelmarin,

“Beliau sudah 12 hari terlantar di hospital dan dijangka dibenarkan keluar pada petang Sabtu selepas pulih,” salah seorang ahli keluarganya memberitahu AFP.

"Beliau sedang menunggu keputusan ujian COVID-19 terakhir."

Kadhemi turut memecat ketua jabatan kesihatan di timur Baghdad, ketua hospital dan pengarahnya bagi keselamatan dan penyelenggaraan.

Perdana menteri berjanji akan mengemukakan keputusan siasatan  kepada kerajaan dalam masa lima hari.

Wakil utama PBB di Iraq, Jeanine Hennis-Plasschaert, menyuarakan rasa terkejut dengan tragedi itu dan menyeru langkah perlindungan yang lebih kukuh dalam memastikan bencana sebegini tidak akan berulang semula.

Pope Francis, yang melakukan kunjungan bersejarah ke Iraq pada awal Mac, memohon agar semua pihak mendoakan mangsa kebakaran. — AFP

Advertisement