Anda di sini

Lelaki didenda kerana ceroboh masuk kuari

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM1,300 atau dua minggu penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menceroboh masuk dalam kawasan kuari. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Kok Hu, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan kuari terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama Kota Sentosa di sini, pada 21 April lalu, jam lebih kurang 6.50 petang.

Mengikut keterangan kes, tertuduh masuk ke kawasan tersebut untuk cuba mencuri besi namun berjaya ditahan oleh beberapa pekerja di kuari. 

Semasa ditahan juga, tertuduh bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

Tertuduh bagaimanapun terjatuh di kawasan berbatu dan seterusnya mengalami kecederaan di bahagian kepala. 

Dia kemudiannya di bawa ke hospital untuk menjalani rawatan sebelum ditahan oleh pihak polis. 

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement