Anda di sini

Lebih 100 kes positif COVID-19 gagal dikesan

Advertisement
 

BINTULU: Lebih 100 orang yang didapati positif COVID-19 di Bintulu antara 12 April dan 21 April tidak dapat dikesan atau dihubungi kerana memberikan maklumat peribadi palsu, kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (gambar).

Akibatnya katanya, kakitangan Hospital Bintulu tidak dapat menghubungi mereka untuk mengatur prosedur kuarantin, pengasingan dan rawatan.

Justeru beliau menasihati kumpulan ini agar hadir di Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu dalam masa 24 jam, jika tidak, mereka akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Dari 12 hingga 21 April, lebih daripada 100 orang telah disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian, tetapi kerana mereka memberikan maklumat peribadi termasuk alamat tempat tinggal dan maklumat hubungan mereka yang palsu, maka kakitangan hospital sekarang tidak dapat menghubungi mereka untuk menguruskan kuarantin, pengasingan dan prosedur rawatan.

“Individu positif COVID-19 ini mesti sedar bahawa selain sebagai pembawa, mereka juga boleh menjangkiti keluarga mereka, membahayakan seluruh komuniti mereka dengan terang-terangan apabila mereka berjalan (mengunjungi pelbagai tempat) dan mengabaikan diagnosis,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Tiong berkata, dengan memberikan data dan maklumat palsu untuk mengeliru pihak berkuasa kesihatan, mereka ini harus bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka yang mementingkan diri dan akan berdepan undang-undang.

Tambahnya, orang ramai juga mesti melakukan peranan mereka dengan tidak menggalakkan tingkah laku tersebut dan melaporkan kedudukan mereka ini kepada pihak berkuasa.

Selain itu katanya, perniagaan dan majikan yang melanggar perintah tersebut dan prosedur operasi standard (SOP) juga akan berdepan dengan undang-undang.

Sehingga 24 April, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan terdapat 128 kes baharu COVID-19 yang direkodkan di Bintulu merupakan tertinggi dicatatkan di mana-mana kawasan di negeri ini.

JPNS melaporkan empat daripada lima kematian di negeri ini kelmarin adalah dari Bintulu.

Advertisement