Anda di sini

Kisah Titanic yang ‘tidak diketahui’ ramai dalam ‘The Six’

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 20 April 2021 ini menunjukkan Luo Tong, penerbit  dokumentari tentang warga China yang terselamat dari kapal Titanic berjudul ‘The Six’ semasa satu temubual di Shanghai.  — Gambar AFP
PENERBIT ‘THE SIX’: Gambar yang diambil pada 20 April 2021 ini menunjukkan Luo Tong, penerbit dokumentari tentang warga China yang terselamat dari kapal Titanic berjudul ‘The Six’ semasa satu temubual di Shanghai. — Gambar AFP

SEBUAH filem dokumentari baharu telah mendedahkan kisah yang ‘langsung tidak diketahui’ tentang enam lelaki China yang terselamat dari  tragedi karam Titanic dan menambah bab baharu dalam sejarah kapal paling terkenal dunia itu.

Dengan pengarah pemenang Oscar James Cameron sebagai penerbit eksekutif, ‘The Six’ telah mendapat ulasan baik di China dan pada satu tahap telah menjadi trend di Weibo, platform seakan Twitter negara itu, selepas ditayangkan.

Pengarah Arthur Jones berharap ia akan memberi impak yang sama apabila dipaparkan di skrin luar negara dan akhirnya menyangkal mitos yang berlegar melebihi satu abad.

Bagi ketua penyiasat warga Britain Steven Schwankert, ‘The Six’ mewakili suara, hidup dan wajah sekumpulan lelaki China yang dalam kalangan 700 orang yang terselamat daripada Titanic karam pada 1912.

Jones berkata, projek yang rumit yang tersebar ke beberapa negara itu bermula sebagai sebuah jenaka antara dua orang rakan karib itu, dan kedua-dua mereka bertapak di China.

“Steven datang kepada saya dan berkata kita patut membuat kisah Titanic China dengan lelaki China yang berada di Titanic,” Jones, 47, memberitahu AFP di studio beliau di Shanghai.

“Saya sangkakan dia sedang bergurau kerana bagi saya ia sesuatu yang kami selalu ketawakan.

“Saya telah membuat pencarian, dan ia benar. Namun pada mulanya fikiran saya  ialah: saya tidak pasti jika dunia ini mahukan filem Titanic lain ataupun dokumentari Titanic lain.”

‘The Six’ membuatkan Schwankert dan rakan penyiasatnya menggeledah arkib dan menemu duga keturunan mereka di seluruh benua itu dalam usaha  untuk mencantum kejadian yang menimpa lelaki-lelaki itu selepas mereka terselamat daripada kejadian karam yang terkenal itu.

“Ia menjadi pengajian yang amat hebat,” kata Jones.

Lapan orang China menaiki kapal itu, di kelas ketiga, apabila ia karam selepas terlanggar aisberg. Enam, kebanyakan daripada mereka terdiri daripada anak kapal yang tidak bekerja untuk Titanic, terselamat dalam rakit mereka.

Cameron, pengarah yang membawa pulang anugerah pengarah terbaik dan filem terbaik di Oscar untuk filem hit 1997 Titanic, memberi sokongan penuh dokumentari itu serta membenarkan Jones untuk memaparkan babak yang tidak dimasukkan dalam versi pawagam blokbuster itu.

Dalam sebuah babak, seorang lelaki beriras wajah Asia bertarung nyawa di atas sepapan kayu diselamatkan dari laut yang membeku itu, berkemungkinan ialah mangsa terakhir yang diselamatkan.

Apabila Schwankers dan pasukannya mencari anak lelaki itu dalam hidup sebenar, rupa-rupanya dia tidak banyak tahu tentang apa yang diharungi ayahnya kerana ayahnya kurang bercakap tentang itu. Semakin mereka mendalami apa yang terjadi kepada enam lelaki itu, buah mulut menyebarkan projek mereka, menarik orang ramai untuk tampil dengan maklumat. Sehingga kini, masih terdapat perincian kisah terbaru.      

Filem berkenaan juga telah mematahkan tanggapan bahawa lelaki China telah menyelinap masuk ke bot penyelamat yang menyelamatkan mereka dengan menyamar sebagai wanita atau bersembunyi dalam rakit itu.

Penonton China amat gembira bahawa kisah penyelamatan sebenar lelaki tempatan mereka kini telah tersebar.

“Yang terutama sekali, penonton di sini berterima kasih kerana telah merungkai sejarah yang tidak tertulis, atau sejarah yang ditulis salah,” tambah Jones. — AFP

Advertisement