Anda di sini

Petronas Dagangan peruntuk perbelanjaan modal RM500 juta bagi segmen runcit pada tahun kewangan 2021

Advertisement
 

Oleh Niam Seet Wee

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PetDag), cabang pemasaran Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah kira-kira RM500 juta bagi segmen runcitnya pada tahun kewangan yang berakhir 31 Disember, 2021 (Tahun Kewangan 2021).

“Perbelanjaan modal itu akan dibelanjakan bagi memperbaharui beberapa stesen minyak, membeli tapak strategik baharu dan mengukuhkan perniagaan bukan bahan api kami yang termasuk Kedai Mesra dan perkhidmatan penyelesaian makanan,” kata Ketua Perniagaan Runcitnya Khalil Muri.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 1,000 stesen minyak Petronas dan 800 Kedai Mesra di seluruh negara dan syarikat itu berhasrat untuk menambah 1.0 peratus atau lima-10 stesen setiap tahun bagi memperoleh bahagian pasaran dan memiliki rangkaian terbesar di Malaysia. 

Khalil berkata, meskipun peningkatan kes pandemik COVID-19, syarikat itu masih yakin dengan prospek segmen runcitnya pada Tahun Kewangan 2021, disokong oleh peningkatan harga minyak mentah, kuantiti trafik yang kembali normal dan permintaan tinggi terhadap perniagaan bukan bahan apinya.  

Beliau berkata demikian kepada Bernama, The Star dan Harian Metro semasa sidang media secara maya yang diadakan pada Jumaat.

Perniagaan di bawah segmen runcit PetDag termasuklah produk bahan api dan bukan bahan api dan perkhidmatan seperti Kedai Mesra, Petronas Smartpay dan program kesetiaan Petronas Mesra.

Menurut Khalil, harga penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent yang meningkat antara US$65 dan US$66 setong (US$1=RM4.108) ketika ini daripada purata US$41.96 setong tahun lepas akan membantu meningkatkan lagi hasil runcit tahun ini.

“Ini kerana harga minyak yang tinggi akan membantu memacu keseluruhan keuntungan kami,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata syarikat tersebut juga menyaksikan peningkatan perniagaan bukan bahan apinya susulan permintaan tinggi apabila orang ramai sudah mula kembali bekerja di tempat kerja masing-masing dan mengambil kesempatan daripada kemudahan yang disediakan untuk mendapatkan makanan yang sedia dimakan. 

“Justeru, bagi tahun ini, kami berhasrat untuk mengembangkan perniagaan bukan bahan api kami sebanyak 15-20 peratus dan menjual lebih banyak bahan api sebanyak kira-kira 5.0-10 peratus dari 2020, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan segmen runcit kami,” katanya. 

 Mengenai produk PETRONAS Primax 97 with Pro-Race yang dilancarkan pada Disember tahun lepas, Khalil berkata “bahan api terbaik” yang pernah ditawarkan oleh PetDag itu juga mendapat sambutan positif daripada pelanggan.

Keseluruhannya, beliau menjangkakan segmen runcit menyumbang kira-kira 40 peratus kepada keseluruhan hasil kumpulan bagi Tahun Kewangan 2021, rendah sedikit daripada kira-kira 47 peratus pada Tahun Kewangan 2019, kerana industri penerbangan masih belum pulih daripada impak pandemik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Februari tahun ini, PetDag berkata hasil segmen runcit turun sebanyak RM4.19 bilion pada Tahun Kewangan 2020 disebabkan terutamanya penurunan purata harga jualan sebanyak 16 peratus, serta kuantiti jualan rendah sebanyak 13 peratus sejajar dengan penurunan permintaan.

Mengenai purata harga jualan, Khalil tidak menjangkakan peningkatan harga minyak ketika ini akan menjejaskan permintaan.

Kerajaan telah mengehadkan harga runcit bagi RON95 pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi diesel, manakala harga RON97 diapungkan mengikut harga pasaran. - Bernama 

Advertisement