Anda di sini

Tuntutan palsu RM1.3 juta, permohonan reman terhadap dua pengarah projek ditolak

Advertisement
Suspek berusia 46 tahun (kanan) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.
Suspek berusia 46 tahun (kanan) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING : Mahkamah Majistret di sini hari ini, menolak permohonan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan perintah reman terhadap dua pengarah projek yang disiasat berhubung kes tuntutan palsu membabitkan jumlah RM1.3 juta. 

Majistret Zaiton Anuar membenarkan kedua-dua lelaki terbabit berusia 43 dan 46 tahun yang disiasat dalam kes sama, untuk dibebaskan hari ini dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM memohon reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-duanya ditahan pada jam sekitar 5.05 dan 5.50 petang Khamis di pejabat SPRM di sini. 

Suspek (dua kiri) bersama peguamnya, Sim (dua kanan) dan Roger (kanan).
Suspek (dua kiri) bersama peguamnya, Sim (dua kanan) dan Roger (kanan).

Mereka dikatakan membuat tuntutan palsu berhubung projek bekalan air Tanjung Manis Fasa 1 pada tahun 2013. 

Difahamkan, kerja-kerja pembinaan bagi River Bank Filtration (RBF) Pakej 1 bagi projek tersebut dilaksanakan tidak mengikuti spesifikasi kontrak dan terdapat tuntutan yang mengandungi butiran palsu.

Sehubungan itu, peguam mewakili suspek pertama yang berusia 43 tahun iaitu Roger Chin dan Sim Hui Chuang berkata, sekiranya projek dilaksanakan adalah tidak mengikuti spesifikasi kontrak, ia merupakan kes sivil dan tidak melibatkan tuntutan palsu.

“Kes ini hanya membabitkan isu kecacatan pada projek dan kebiasaannya pihak kontraktor boleh diarahkan untuk membaiki semula projek tersebut.

“Malah, perkara ini telah dikemukakan kepada tribunal untuk diputuskan pada 11 Januari 2018 dan pihak tertentu sebaliknya telah diarahkan untuk membayar anak guam saya,” ujar Roger kepada pemberita selepas selesai prosiding.

Tambah Roger dan Sim, anak guam mereka juga boleh menyediakan kesemua dokumen lengkap kepada SPRM berhubung projek tersebut. 

Justeru menurutnya, tiada keperluan bagi SPRM untuk menahan reman kedua-dua lelaki terbabit. 

Kedua-duanya ditahan susulan daripada kes penangkapan seorang lelaki iaitu Pengarah Urusan daripada sebuah syarikat swasta di Samarahan pada Khamis.

Lelaki berkenaan bagaimanapun direman lima hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes sama. 

Suspek kedua berusia 46 tahun diwakili peguam, Francis Wee. 

  • oleh
  • Advertisement