Anda di sini

Prestasi keseluruhan sektor pengeluaran adalah lemah pada 2H2020

Advertisement

KOTA KINABALU:Kajian lapangan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati prestasi keseluruhan sektor pengeluaran adalah lemah pada separuh kedua tahun 2020 (2H2020) turut memberikan kesan pada separuh pertama tahun 2021 (1H2021).

Pengerusi FMM Sabah James Ha Haw Yew berkata, ia disebabkan meningkatnya kes COVID-19 setiap hari pada awal tahun 2021 memberikan cabaran kepada proses pemulihan aktiviti perdagangan dan pengilangan.

Katanya, tinjauan yang dilakukan adalah berdasarkan 53 responden dari sektor pengilangan di negeri ini dan ia boleh memberikan gambaran keseluruhan terhadap jangkaan yang akan dihadapi sektor berkenaan untuk tempoh enam bulan seterusnya pada 2021.

"47 peratus responden adalah daripada kumpulan produk makanan dan minuman, 11 peratus dari pengeluar produk plastik dan getah, produk kimia (9 peratus), logam asas (8 peratus), produ bukan logam (8 peratus), produk kertas (4 peratus) dan lain-lain kumpulan produk (13 peratus).

"60 peratus responden adalah majikan yang mempunyai pekerja diantara lima sehingga 74 orang, 20 peratus (75 sehingga 200 pekerja) dan 17 peratus (kurang daripada lima pekerja)," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, dapatan kajian adalah kebanyakkan pengilang menghadapi kemerosotan produktiviti sebanyak 50 peratus, termasuk pendapatan pada pertengahan kedua 2020 tetapi optimistik mampu bangkit semula pada 1H2021 .

Katanya, 43 peratus responden berhadapan dengan pengurangan aliran tunai pada 1H2021 dan kos pengeluaran dijangka meningkat setinggi 32 peratus disebabkan kurangnya bekalan bahan mentah untuk kemampanan aktiviti perniagaan pada 1H2021.

Menurutnya, majoriti atau 55 peratus responden telah menggunakan kemudahan SOCSO MYFutureJob Portal atau Program Kerjaya PENJANA. Bagaimanapun hanya 34 peratus mendakwa mendapat manfaat daripada program berkenaan.

"70 peratus responden merancang untuk mengekalkan jumlah pekerja, sementara 17 peratus syarikat sanggup mengambil pekerja baharu khususnya bahagian operasi, jualan dan permasaran pada 1H2021.

"Lebih daripada 54 peratus responden berharap Majlis Penasihat Ekonomi Sabah akan membantu dalam memperkenalkan serta melindungi produk tempatan," katanya.

Menurutnya, kadar sewa yang tinggi turut menjadi kebimbangan dalam kalangan pengilang khususnya di KKIP dengan 77 peratus responden sependapat mengenai perkara terbabit.

Katanya, 81 peratus responden juga bersetuju vaksin COVID-19 harus dijadikan mandatori kepada semua pekerja.

Dalam pada  itu, beliau menjelaskan COVID-19 telah memberikan kesan menyeluruh kepada aktiviti sektor pengilangan pada 2H2020.

"35 peratus responden menyatakan 25 peratus kemerosotan produktiviti, pendapatan dan tempahan. 27 peratus responden menyatakan kemerosotan sehingga 50 peratus pada ketiga-tiga kategori berkenaan.

Untuk enam bulan 2021 seterusnya, James menjelaskan sektor pengilangan kekal stabil untuk perkara terbabit untuk 1H2021 dengan 70 peratus responden akan mengekalkan jumlah pekerja masing-masing.

Katanya, hanya 17 peratus responden merancang untuk mengambil pekerja baharu pada 1H2021 dan 8 peratus akan mengambil kaedah menghentikan pekerja.

Pada 1H2021 katanya, kebanyakan pengambilan pekerja adalah dalam sektor operasi (39 peratus), jualan dan pemasaran (24 peratus).

Tambahnya, majoriti responden juga tidak merancang untuk memberikan kenaikan gaji atau memberikan bonus tahun ini.
 

  • oleh
  • Advertisement