Anda di sini

Sukuk Kelestarian Malaysia lebih langganan 6.4 kali, pengagihan menyeluruh di peringkat global

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar AS menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah US$800 juta dan sukuk bertempoh matang 30-tahun US$500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).

Keyakinan pelabur jelas dicerminkan melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada US$1.0 bilion kepada US$1.3 bilion.

Menurutnya, kedua-dua tranche itu telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings.

Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10-tahun ditetapkan pada 2.070 peratus [T + 50 mata asas] dan tranche 30-tahun pada 3.075 peratus [T +80 mata asas].

Malah, lebih penting, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.

“Kami berasa amat sukacita dan berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh,” kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar).

Beliau berkata terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek, malah merupakan sebuah pengiktirafan yang tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Berikutan program jelajah secara maya yang meliputi pelabur Asia, Timur Tengah, Eropah dan AS, ia  telah berjaya menarik minat pelbagai segmen pelabur.

Pengagihan sukuk ini telah dibuat secara menyeluruh dengan tranche 10-tahun diagihkan sebanyak 55 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus kepada pelabur Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) serta 12 peratus kepada pelabur AS.

Sementara itu, tranche 30-tahun pula diagihkan sebanyak 46 peratus kepada pelabur Asia, 33 peratus kepada EMEA dan 21 peratus kepada pelabur AS.

Sebanyak 67 peratus daripada tranche 10-tahun telah diagihkan kepada pengurus dana dan syarikat insurans, 18 peratus kepada bank pusat dan kerajaan, 14 peratus kepada bank-bank dan 1 peratus kepada pelabur lain, manakala bagi tranche 30-tahun, sebanyak 83 peratus kepada pengurus dana, 10 peratus kepada bank-bank, 4.0 peratus kepada bank pusat dan kerajaan serta 3.0 peratus kepada pelabur lain.

Terbitan sulung Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar AS merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan sesebuah negara/kerajaan di mana terimaan terbitan akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam yang menepati SDG oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

 Terbitan ini membolehkan kerajaan memenuhi komitmen sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, selaras dengan status sebagai penandatangan dalam Perjanjian Paris, di samping menggiatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan.

Menurut MoF, ini turut membuktikan usaha kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sukuk ini juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail.

Sebagai terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, ia menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran kewangan Islam global, serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

Sukuk Kelestarian ini diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Berhad dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang baharu diwujudkan.

Rangka Kerja ini telah dinilai oleh Sustainalytics yang mengiktirafkannya sejajar dengan empat komponen teras Prinsip Bon Sosial 2020 (SBP), Prinsip Bon Hijau 2018 (GBP) dan Piawaian Bon Lestari ASEAN 2018 (ASEAN SUS).

Kedua-dua dokumen Rangka Kerja dan Pandangan Pihak Kedua oleh Sustainalytics boleh diakses melalui: https://www.mof.gov.my/en/economy/sustainability.

CIMB, HSBC dan J.P. Morgan berperanan sebagai penaja jamin bersama dan pengurus utama bersama bagi terbitan ini. Selain itu, HSBC Amanah Malaysia dan J.P. Morgan merupakan Ejen Penstrukturan SDG.

Struktur Syariah pula telah diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah Lembaga Pengarah CIMB Islamic Bank Berhad dan Jawatankuasa Penyeliaan Syariah Global HSBC. - Bernama 

Advertisement