Anda di sini

Industri mineral disasar sumbang RM29 bilion kepada KDNK menjelang 2030 - PM

Advertisement
Muhyiddin menunjukkan buku Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 pada majlis pelancaran pelan transformasi itu hari ini. Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kanan). - Gambar Bernama
Muhyiddin menunjukkan buku Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 pada majlis pelancaran pelan transformasi itu hari ini. Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (kanan). - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada RM29 bilion menjelang 2030 selain memastikan industri tersebut dibangunkan secara lestari,  kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagi merealisasikan hasrat itu, Muhyiddin mahu semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat bekerjasama menggarap idea terbaik dalam membangunkan industri mineral. 

“Selain itu, agensi berkaitan harus meneliti aspek galakan sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau bukan kewangan bagi menyokong perkembangan industri mineral yang bertanggungjawab dan mampan," katanya ketika melancarkan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030, di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, sumbangan sektor mineral kepada KDNK pada 2019 ialah sebanyak RM9.9 bilion.

“Kerajaan juga mengharapkan kolaborasi strategik pelbagai pihak bagi bersama-sama mentransformasikan industri ini supaya membawa manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata pembangunan industri mineral negara ini tidak seimbang antara peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

Justeri katanya  kerangka pelan yang dilancarkan hari ini merupakan agenda baharu negara yang menjadi rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri dibangunkan secara holistik.

“Seiring kemajuan pesat dalam era Revolusi Industri 4.0, permintaan terhadap pelbagai jenis mineral terus meningkat secara drastik. 

“Teknologi untuk masa hadapan terus bergantung pada input mineral yang tinggi termasuk pembuatan produk untuk menangani perubahan iklim seperti panel solar, kincir angin, kenderaan elektrik dan storan penyimpanan tenaga,” katanya.

Menyedari hakikat itu, Muhyiddin berkata Malaysia yang kaya dengan hasil mineral harus bijak memposisikan diri serta mengambil peluang untuk meneroka dan membangunkan sumber yang dimiliki.

“Namun demikian, ini tidak bermakna kerajaan membenarkan aktiviti dalam industri ini dijalankan tanpa kawalan. Cabaran yang masih dihadapi seluruh dunia yang perlu ditangani ialah menguruskan industri ini tanpa menyebabkan kerosakan alam sekitar dan gangguan kepada kehidupan,” katanya. - Bernama 

Advertisement