Anda di sini

‘18 Puasa’ terus unggul, berjaya raih kutipan RM2 juta dalam 6 hari

Advertisement
 

SAMBUTAN ke atas filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ terus menunjukkan perkembangan mantap apabila berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh enam hari di platform Astro First.

Jika sebelum ini watak Barkoba menjadi bualan penonton, memasuki minggu kedua tayangan, ia menyaksikan watak baru yang diperkenalkan dalam francais tersebut, iaitu Tyson 2 lakonan Jaafar Onn turut menambat hati penonton menerusi dialognya “Mim Alif Kap Nun – Mati” di dalam salah satu babak di dalam filem.

Ini juga adalah kemunculan semula oleh pelakon senior tersebut yang telah lama tidak muncul di dalam filem mahu pun drama. Sementara itu di laman-laman media sosial, ramai yang berkongsi rasa terkesan dengan mesej yang disampaikan selepas menontonnya.  

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata pihaknya dan pengarah Mamat Khalid merasa bersyukur filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ mendapat sambutan luar biasa.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penonton yang telah menonton di Astro First. Setinggi-tinggi penghargaan juga buat barisan pelakon dan kru yang telah menjayakan 18 Puasa Di Kampong Pisang sehingga ia menjadi satu fenomena dan mempunyai simbolik tersendiri yang sinonim dengan bulan puasa. Selepas ini jika kita sebut nama Barkoba, saya yakin pasti ramai yang terus mengaitkan dengan orang tidak berpuasa dan bulan Ramadan, manakala ‘plastik hitam’ simbolik francais 18 Puasa Di Kampong Pisang. Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin dalam industri filem tempatan untuk terus bergerak ke depan meskipun dalam era normal baharu bagi tayangan filem,” katanya.

‘18 Puasa Di Kampung Pisang’ adalah gabungan daripada dua ‘masterpiece’ pengarah Mamat Khalid, iaitu ‘Kampong Pisang’ dan ‘16 & 17 Puasa’. Ia mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Saksikan filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ yang kini masih berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First.

Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.  

Advertisement