Anda di sini

Ventilator rosak, Robert Lau tuntut penjelasan terperinci

Advertisement
 

SIBU:  Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew (gambar) mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan menghantar alat bantuan pernafasan (ventilator) yang usang dan tidak berfungsi ke Sibu.

Menurutnya, penjelasan mengenai kerosakan alat tersebut tidak boleh diterima. 

"Sukar dibayangkan macam mana ventilator boleh rosak akibat penerbangan yang bergelora dari Kuala Lumpur ke Sibu. Kalau mesin-mesin itu begitu rapuh, kenapa menghantarnya ke Sibu," soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini. 

Kementerian mesti menyiasat dan memberi penjelasan yang menyeluruh. 

"Penjelasan ini amat penting untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem kerajaan. Kalau tidak, rakyat Sarawak berasa seolah-olah mereka dilayan sebagai orang Malaysia kelas kedua. 

"Pada masa yang sama, kementerian haruslah menyatakan berapa unit ventilator telah dibeli sejak pandemik bermula dan ke manakah ventilator-ventilator itu telah diedarkan. Kami ingin tahu berapa unit telah dihantar ke Sarawak," ujarnya. 

Lau berkata, hospital-hospital di Sarawak secara amnya dan di wilayah tengah khasnya menghadapi kekurangan kemudahan. 

"Hospital Sibu sangat kekurangan peralatan dan terpaksa meminjam peralatan dari hospital swasta. Sebagai contoh, sebelum wabak ini, 10 unit ventilator di Hospital Sibu yang berusia lebih daripada 10 tahun telah dihapus-kira.

"Ini bermakna, mesin-mesin tersebut telah usang, maka tidak sepatutnya diperbaiki sekiranya rosak dan sebaliknya hendaklah digantikan dengan mesin yang baru. Sedihnya, mesin baru tidak sampai walaupun permohonan penggantian dibentangkan setiap tahun. 

Justeru, Lau percaya bahawa satu-satunya cara untuk memastikan keadilan dalam perkara ini ialah dengan mengembalikan kuasa autonomi penuh dalam bidang kesihatan kepada Sarawak. 

"Ini mesti merangkumi pengagihan bajet tahunan yang adil diberikan kepada Sarawak untuk memenuhi permintaan kesihatan di Sarawak. Saya telah membangkitkan dan mengesyorkan perkara ini dalam ucapan pertama saya dan sekali lagi dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbelanjaan 2021 di Dewan Negara," jelasnya. 

Sepanjang dua tahun yang lepas, Lau berkata, orang Sibu amat murah hati menderma peralatan dan banyak benda lain kepada Hospital Sibu. 

"Dua mesin PCR pun diderma oleh syarikat swasta. Kerajaan Sarawak telah membeli tiga unit ventilator baru untuk Hospital Sibu. Pihak swasta telah menderma sebuah ventilator kepada Hospital Sibu dan satu lagi kepada Hospital Kapit. 

"Kenapa kami mesti membeli peralatan sendiri walaupun kami membayar cukai kepada kerajaan persekutuan? Bukankah ini suatu hukuman yang tidak adil yang rakyat Sarawak kena bayar," soalnya. 

  • oleh
  • Advertisement