Anda di sini

Rompak, remaja dihantar ke Henry Gurney

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney atas kesalahan merompak seorang warga emas lelaki berusia 67 tahun pada awal Mac lalu.

Hakim Jason Juga menetapkan demikian setelah meneliti laporan akhlak remaja berumur 15 tahun itu.

Pada 17 Mac lalu, tertuduh bersama seorang rakanya iaitu Nicolas Ericson Grinda, 19, masing-masing mengaku bersalah melakukan rompakan tersebut. 

Justeru, mahkamah menetapkan kes disebut semula pada hari ini untuk mendengar laporan sosial bagi Nicolas dan laporan akhlak bagi remaja berusia 15 tahun itu.

Bagaimanapun difahamkan, Nicolas kini sedang direman di penjara Puncak Borneo dan tidak boleh hadir ke mahkamah berikutan dia menjalani kuarantin. 

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan kes bagi Nicolas untuk disebut semula pada 27 Mei depan. 

“Sementara itu, tertuduh kedua iaitu remaja bawah umur berusia 15 tahun diperintahkan untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun mengikut Seksyen 91 (1) (f) Akta Kanak-kanak,” ujar Hakim Jason Juga semasa prosiding. 

Mahkamah juga memerintahkan ibu bapa tertuduh untuk mengunjungi tertuduh sebulan sekali bagi tempoh tiga tahun tersebut. 

Mengikut pertuduhan pindaan, mereka secara bersama didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa, Lai Fah Kiong, 67, pada 8 Mac lalu, jam 2 petang berhampiran sebuah sungai di Jalan Batu Kawa, di sini.

Kedua-dua tertuduh dilaporkan mengambil sebuah telefon pintar dan sebuah dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan serta lesen memandu. 

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • oleh
  • Advertisement