Anda di sini

SRC dikuasai oleh seorang individu

Advertisement
 Najib (tengah) tiba di Mahkamah Rayuan semalam bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Najib (tengah) tiba di Mahkamah Rayuan semalam bagi pendengaran rayuannya terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram semalam menggambarkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd sebagai ‘boneka kepada Datuk Seri Najib Tun Razak’ dengan mengatakan bahawa SRC dikuasai penuh oleh bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata ini adalah kerana perayu (Najib) membayangi pihak berkuasa dan mengawal penuh urusan SRC menjadikan BOD sebagai boneka yang melaksanakan arahan tuannya (Najib).

“Ia adalah dikuasai oleh seorang individu... beliau meminggirkan semua orang dan mengawal dana SRC melalui Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Nik Faisal Ariff Kamil. Najib mengawal semua urusan syarikat sehingga kepada pelantikan peguam SRC, juruaudit dan bank mana yang mengendalikan akaun syarikat, fungsi itu biasanya dijalankan oleh para pengarah.

“Kedudukan unik perayu dalam SRC, sejak penubuhannya dan seterusnya penukaran kepada sebuah syarikat MOF Inc, jelas membuktikan bahawa perayu bukan bertindak atas kapasiti rasmi iaitu sebagai mekanisme kerajaan.

“Kawalan dan penguasaan perayu ke atas SRC terbukti berdasarkan fakta beliau bertindak atas namanya sendiri dan bukan atas nama prinsipal, apabila beliau sendiri menandatangani semua arahan pemegang saham yang kemudiannya dilaksanakan oleh BOD SRC,” katanya.

Pada ketika itu, Najib adalah perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC yang kemudiannya syarikat itu diletakkan bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF).

Beliau berhujah di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara, atas tuduhan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Peguam jenayah veteran yang berpangkalan di Pulau Pinang itu berkata perayu walaupun bukan seorang pengarah yang dilantik secara rasmi, sebenarnya adalah pengarah bayangan SRC oleh kerana BOD SRC sudah biasa bertindak atas arahan Najib.

“Dalam mana-mana syarikat, pemegang saham melantik Ahli Lembaga Pengarah (BOD) untuk menguruskan hal ehwal dan urusan harian syarikat yang ia akan bertindak demi kepentingan terbaik syarikat.

“Bagaimanapun dalam kes SRC, situasinya terbalik kerana pemegang saham mengarahkan BOD SRC menerusi minit pemegang saham mengenai operasi, aspek perniagaan yang berada dalam bidang kuasa BOD SRC.

“Bekas Pengerusi SRC Tan Sri Ismee Ismail dan bekas Pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin mengesahkan bahawa BOD harus mengikut arahan perayu dan melaksanakannya. Oleh itu, pemegang saham sebenar SRC memang perayu.

“Ia jelas terbukti melalui minit mesyuarat pemegang saham bahawa bukannya membenarkan BOD SRC menjalankan urusan SRC, perayu mengambil alih syarikat itu dan memberi arahan khusus untuk mengalihkan dana SRC ke luar negara, melalui Dubai, Hong Kong dan Switzerland. Tujuan penggunaan dana ini di luar negara tiada kaitan dengan tujuan SRC memperoleh dana daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) iaitu untuk pembangunan sumber asli,” katanya.

Sithambaram menegaskan Najib bertindak semata-mata untuk kepentingan peribadinya kerana SRC tidak menggunakan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP bagi tujuan itu dan tidak mempunyai apa-apa untuk ditunjukkan seperti yang disahkan oleh saksi pendakwaan ke-45, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

“Keterangan PW45 tidak menunjukkan projek tunggal yang telah dilaksanakan atau disiapkan oleh SRC dengan menggunakan pinjaman RM4 bilion yang diberikan kepadanya. Wang itu telah hilang,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Najib dan memerintahkannya membayar denda RM210 juta setelah mendapati dia bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pendengaran rayuan itu bersambung. — Bernama

Advertisement