Anda di sini

Dua PATI dihukum penjara dan denda berjudi

Advertisement
Suyanto (kiri) bersama Liyu (dua kiri) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.
Suyanto (kiri) bersama Liyu (dua kiri) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching.

KUCHING: Dua warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memasuki negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh, Suyanto Bong, 42, dan Liyu Cikong Nardi, 26, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Maris Agan. 

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 11 Mac lalu, jam lebih kurang 9.45 malam di sebuah kafe di Buntal Square, Jalan Sultan Tengah di sini. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis membuat pemeriksaan terhadap premis berkenaan setelah mengesyaki kedua-dua tertuduh terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.

Semasa serbuan itu, kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Semakan daripada Jabatan Imigresen Malaysia turut mendapati tidak ada maklumat pergerakan terkini mengenai aktiviti keluar atau masuk membabitkan kedua-dua tertuduh. 
    
Justeru, kedua-duanya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Dalam pada itu, Suyanto dan Liyu turut dijatuhi hukuman denda RM10,000 setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian yang dilakukan mereka dalam kejadian sama iaitu pada 11 Mac lalu.  

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali seterusnya mengarahkan kedua-dua tertuduh yang disabitkan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 itu untuk dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar, selain mengarahkan mereka untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen selesai menjalani hukuman. 

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Admei Ahmad. 
 

  • oleh
  • Advertisement