Anda di sini

Direman, disyaki pukul isteri

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman empat hari kerana disyaki dengan sengaja memukul tangan isterinya menggunakan sebatang besi sehingga bengkak.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan penolong pegawai penyiasat Sarjan Johnny Mathew Jang.

Ketika mengemukakan permohonan remannya, Johnny berkata pada 19 April lalu, seorang wanita telah membuat laporan polis dengan mendakwa dipukul oleh suaminya.

Dalam aduannya, pengadu, 29, mendakwa sekitar jam 2 petang, 19 April lalu, ketika berada di sebuah rumah kongsi di kawasan Luak, beliau telah bertengkar dengan suaminya.

Punca kejadian disebabkan suami mencemburuinya tanpa sebab dan kemudian bertindak memukul tangannya menggunakan sebatang besi sehingga bengkak.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 8.30 malam hari kejadian, di rumah kongsi yang sama, polis telah menangkap seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebatang besi berukuran 79 sentimeter panjang yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul isterinya bagi dijadikan barang kes.

Dalam permohonan lanjutnya, Johnny berkata reman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek yang berusia 25 tahun dari Ng. Medamit, Limbang amat diperlukan untuk membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian membenarkan reman empat hari ke atas suspek sehingga 24 April ini.

  • oleh
  • Advertisement