Anda di sini

Pelaksanaan PKP, beri kesan buruk kepada ekonomi negeri, rakyat - Ketua Menteri

Advertisement
Pusat bandar raya Kuching lengang ketika pelaksanaan PKP pada tahun lepas. - Gambar fail
Pemandangan dari udara pusat bandar raya Kuching yang lengang ketika pelaksanaan PKP pada tahun lepas. - Gambar fail

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 5.0 (PKP5) di Sarawak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri dan rakyat.

Beliau berkata jika PKP dilaksanakan semula di negeri ini, ia akan membebankan banyak industri dan ramai orang akan hilang pekerjaan. 

Bagaimanapun tegasnya wujud keperluan untuk kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mengambil langkah drastik bagi memutuskan rantaian COVID-19 supaya keadaan tidak terus menekan sumber dari segi kesihatan negeri yang terhad di samping tenaga kerja mencecah tahap keletihan.

"Perbahasan mengenakan PKP berbanding Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semakin hangat akhir-akhir ini dan saya meyakinkan anda, JPBNS telah membuat penilaian di lapangan dan menjelaskan sepanjang pengalaman PKP di Sibu, mereka mengalami kesukaran dari segi penguatkuasaan.

"Dengan melaksanakan PKP, untuk Sarawak ia akan membebankan banyak industri dan ramai orang hilang pekerjaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Oleh itu, ujarnya setelah mempertimbangkan semua isu dan menilai risiko, JPBNS telah memutuskan untuk terus melaksanakan operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah disasarkan kerana langkah ini terbukti berhasil di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini.

Abang Johari berkata pergerakan rentas antara daerah juga merupakan penyumbang utama penularan COVID-19, setakat ini, 506 kes positif dikesan dan lapan kluster muncul kerana perjalanan rentas daerah (Import C) sejak Januari 2021.

Berikutan itu ujarnya, setelah menilai peningkatan jumlah kes tempatan bagi kes-kes Import C, COVID-19, agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengetatkan kawalan penjalanan rentas zon.

Justeru tegasnya hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan melintasi zon dengan kebenaran polis.

"Sebab-sebab lain yang menyebabkan peningkatan kes juga berkaitan dengan kurangnya pematuhan SOP (prosedur operasi standard) terutamanya semasa perhimpinan sosial seperti perjumpaan keluarga, pesta ulang tahun, pesta perpisahan, perjumpaan sempena perayaan, pengebumian, acara bergotong rotong dan laga ayam," katanya.

Terdahulu Abang Johari berkata pada akhir 2020, setelah PKP dilaksanakan, Sarawak berjaya melandaikan lekuk kes COVID-19 di negeri ini.

"Semua kita faham mengenai SOP dan patuh kepada kepadanya ketika PKP1, PKP2, PKP3 dan PKP4, namun langkah-langkah ini telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negeri ini dan rakyat.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Sarawak berjaya mengekalkan banyak daerah berstatus hijau sementara sebilangannya kuning, dari 25 November 2020 hingga 7 Januari 2021.

"Kita melangkah ke bulan Januari dengan 35 Zon Hijau dan hanya lima zon berstatus kuning. Jumlah harian agak rendah dan kita berjaya mengatasi penularan jangkitan berleluasa selama beberapa bulan," katanya.

Bagaimanapun katanya bermula 8 Januari 2021, berlaku kes-kes import yang masuk ke negeri ini dan sejak itu penularan kes berlaku di seluruh Sarawak.

Jumlahnya beransur-ansur meningkat tetapi pada kadar terkawal dan dengan trend peningkatan di beberapa tempat ketika ini, iaitu Sibu, Bintulu dan Miri menyebabkan kerajaan memutuskan melanjut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 13 April hingga 26 April 2021, jelasnya.

"Kita telah memutuskan untuk meneruskan jejak, uji, kuarantin dan isolasi apabila terdapat kes positif dan mengekalkan tempoh kuarantin 14 hari bagi mereka yang memasuki Sarawak bagi mengelak lebih banyak kes import," katanya.

  • oleh
  • Advertisement