Anda di sini

Dua ‘masterpiece’ Mamat Khalid digabung dalam satu filem

Advertisement
 Ustaz Kazim (tengah) turut membintangi filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ yang kini ditayangkan di Astro First sebagai pelakon jemputan.
PENAMPILAN ISTIMEWA: Ustaz Kazim (tengah) turut membintangi filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ yang kini ditayangkan di Astro First sebagai pelakon jemputan.

TENTU semua tahu bila bercakap mengenai ‘Hantu Kak Limah’, francais filem komedi paling gempak nombor satu Malaysia, manakala ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ yang ditayangkan pada awal tahun ini menerusi slot Astro Originals pula mendapat sambutan hangat daripada penonton sepanjang 13 minggu ia bersiaran.

Kini, francais itu kembali bagi mengembangkan lagi ‘universe’ menerusi gabungan dua ‘master-piece’ iaitu ‘Kampung Pisang’ dan ‘16&17 Puasa’ karya pengarah tersohor, Mamat Khalid.

Gabungan dua karya ini adalah rentetan daripada kejayaan ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ di mana ia bukan sahaja tular babak-babak, karakter dan dialog yang mencuit hati seperti “mee kari kuah laksa” di media sosial, tetapi fenomena Kampong Pisang turut mendapat perhatian serta pujian daripada Ketua Polis Balai Nusa Bestari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor yang menyatakan bahawa jenaka Kampong Pisang Bersiri-Siri yang disampaikan dalam suasana santai mampu menghilangkan stres seharian akibat kerja.

Lebih menarik, kualiti produksinya juga telah meletakkan industri seni kreatif tempatan ke satu standard yang baru.

Berikutan sambutan baik dan maklum balas positif yang diterima, pihak penerbit Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut tidak teragak-agak untuk membawakan sebuah lagi karya terbaru arahan Mamat Khalid iaitu ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’. Filem genre komedi tersebut kini sedang ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April lepas.  

Uniknya, ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ adalah kesinambungan dan gabungan ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ dan telefilem eksklusif popular ketika bulan Ramadan dengan meraih kutipan memberangsangkan di platform Astro First, iaitu ‘16 Puasa dan 17 Puasa’.

Masih mengekalkan subjek utama ‘tidak berpuasa’, lebih menarik kali ini mesej yang cuba disampaikan oleh Mamat Khalid lebih berat dan pedas yang mampu menjentik hati untuk merenung kembali setiap tingkah laku manusia di samping memaparkan hiburan santai untuk seisi keluarga.

Amat bersesuaian dengan bulan Ramadan yang penuh barakah, ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ akan mengetengahkan mesej tersurat dan tersirat tentang hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, rukun Islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.  

Manakala, daripada sudut kualiti produksi pula, karya kali ini menguji penggunaan teknik janaan imej komputer (CGI).

Jalan cerita, babak-babak seperti gambaran di alam neraka, skrip serta dialog yang dipaparkan sudah pasti rekaan fiksyen semata-mata bagi menyampaikan mesej islamik dan menyerapkan rasa insaf dalam kalangan penonton.  

Bagi watak pula, karakter-karakter utama daripada ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ masih dikekalkan.

Antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud), Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson (Namron), Tyson (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.  

‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan. Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang. Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang.

Menurut Mamat Khalid, “Filem ini membawakan pendekatan yang berbeza berbanding karya ‘16 Puasa & 17 Puasa’. Sudah tentu nilai hiburannya masih ada, cuma terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini. Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri. Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim, jadi diharap karya ini dapat mengajak penonton untuk refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia, bulan Ramadan.”

Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kehadiran filem ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ ini pasti akan mengubati rindu mereka di luar sana untuk menikmati hiburan dan bergelak ketawa.

Ikuti info dan klip-klip menarik tentang ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’ ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.  

Advertisement