Anda di sini

Dana jambatan dibatalkan, dialih untuk jalan Sarawak dan Sabah

Advertisement
 

KUCHING: Bekas Menteri Kerja Raya Baru Bian (gambar) menolak dakwaan mengatakan beliau membatalkan tiga projek jambatan di Sarawak dan mengalihkan dana tersebut untuk projek di Kedah dan Sabah. 

Beliau menegaskan, peruntukan RM900 juta bagi tiga projek jambatan tersebut iaitu Rambungan, Igan dan Batang Lupar dialihkan untuk bahagian utara Sarawak bagi Sarawak-Sabah Link Road (SSLR). 

“Projek SSLR adalah projek yang merangkumi Fasa 1 dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut dan Fasa 2 dari Kampung Pa’ Berunut ke Long Lama. 

“Projek SSLR sepanjang 425 kilometer (km) ini adalah laluan darat pertama menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelasnya, beliau harus mengutamakan sempadan terakhir iaitu bahagian utara Sarawak yang kekurangan penyambungan jalan raya. 

“Dalam perbincangan kami, ditekankan bahawa ada keperluan sebenar untuk mempunyai jalan dari Miri ke Limbang dan Lawas yang akan melepasi Brunei, sekiranya Brunei menutup sempadannya untuk dilalui kenderaan. 

“Senario ini telah ditanggung semasa krisis COVID-19, dengan itu keputusan saya untuk memulakan projek SSLR bagi menyediakan sambungan jalan yang lengkap untuk Utara Sarawak adalah betul.

“Saya juga diberitahu bahawa Jalan Pesisir di mana tiga jambatan ini akan dibina adalah Jalan Negeri bukan Jalan Persekutuan. 

“Mengambil kira dana terhad yang ada pada masa kemerosotan ekonomi, keutamaan kita harus dinilai semula,” jelasnya. 

Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu berkata daripada membuat tuduhan palsu terhadap beliau, pihak berkenaan sepatutnya bertanya mengapa bahagian utara Sarawak diabaikan selama 57 tahun dan hanya boleh diakses menerusi Brunei. 

“Adakah ia tidak layak menerima perhatian dan peruntukan yang sama seperti tengah dan selatan Sarawak? 

“Mengapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN)/Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak bersuara untuk sambungan jalan yang lebih baik bagi bahagian Utara Sarawak,” soal Baru. 

Tambah Baru lagi, pada 2020 Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah menyatakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan dengan Projek SSLR dan kementerian sedang memuktamadkan tender kepada yang berjaya. 

“Langkah kerajaan PN untuk meneruskan projek SSLR menunjukkan bahawa keputusan yang saya buat sebagai Menteri Kerja Raya untuk memperuntukkan semula peruntukan tiga jambatan bagi projek SSLR adalah berhemah. 

“Saya berharap kerajaan PN/Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempercepatkan pembinaan projek SSLR ini memandangkan semua orang sedar bahawa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ia adalah sambungan yang sangat perlu. 

“Meskipun tiga jambatan ini dibatalkan, bajet yang diperuntukan iaitu RM900 juta kini digunakan bagi Fasa 1 projek SSLR yang mana dijangka membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri ini apabila siap kelak,” ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement