Anda di sini

Kakitangan FAMA perlu terus berintegriti dalam melaksanakan tugasan

Advertisement
Para tetamu kehormat serta jemputan-jemputan merakamkan gambar kenangan
KENANGAN:Para tetamu kehormat serta jemputan-jemputan merakamkan gambar kenangan

KOTA KINABALU: Seluruh warga kerja Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diminta mengekalkan integriti diri dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Japlin Akim berkata, tanpa integriti bukan sahaja boleh menjejaskan mutu perkhidmatan tetapi juga nama baik agensi FAMA itu sendiri.

"Saya sentiasa menekankan kepentingan integriti dalam kehidupan seharian sebagai penjawat awam. 

"Tanpa integriti, kita akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk menyampaikan tanggungjawab dan amanah semasa melaksanakan tugas," katanya ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang FAMA Negeri Sabah di sini, semalam.

Beliau berkata, setiap kakitangan FAMA mempunyai peranan yang berat kerana berkait dengan keperluan semasa orang ramai khususnya membabitkan makanan harian.

"Saya telah diberi taklimat mengenai projek-projek yang dilaksanakan oleh FAMA Sabah. Kita dalam hal ini perlu memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan mudah diakses oleh orang ramai.

"Ini selari dengan kehendak pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang mempunyai misi dalam menyediakan keperluan rakyat yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata, meskipun negara masih belum berjaya sepenuhnya menangani wabak COVID-19, namun semua itu tidak boleh dijadikan alasan kepada kakitangan agensi FAMA untuk melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

Katanya, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri, semua kakitangan perlu patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, alat pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal.

"Jadikan ini sebagai satu budaya berterusan dalam kalangan warga FAMA semasa berada di luar terutamanya ketika berkumpul dalam jumlah yang ramai. Sayangi diri dan sayangi keluarga anda.

"Kerajaan kini sedang dalam fasa perlaksanaan pemberian vaksin kepada barisan hadapan. Tidak lama lagi orang awam pula akan mendapat giliran pemberian vaksin ini," katanya.

Hadir sama Pengarah Fama Sabah, Ribin Bin Haji Wahid serta kakitangan Fama Sabah

  • oleh
  • Advertisement