Anda di sini

Direman empat hari kerana dadah

Advertisement
 

MIRI: Empat lelaki diberkas dan sejumlah dadah dirampas hasil pemeriksaan polis ke atas sebuah kenderaan berhampiran Kampung Beraya Lama, Bakam di sini pagi semalam.

Berikutan tangkapan itu, kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 31 tahun masing-masing dari Kampung Pintasan Sungai Tiris dan Kampung Tiris, Bekenu telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, sekitar jam 11 pagi, 15 April lalu, sepasukan polis dari Cawangan Trafik Miri diketuai Sarjan David Henry yang melakukan rondaan cegah kemalangan bagi sektor Miri-Bekenu-Miri telah memeriksa sebuah kenderaan di sebuah simpang menuju ke pantai berhadapan Kampung Beraya Lama.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki berada di dalam kenderaan itu.

Polis yang melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu telah menjumpai sebuah kotak berwarna hitam yang diletakkan di tengah-tengah antara tempat duduk hadapan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kotak itu mengandungi tiga keratan tiub straw masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 0.60 gram.

Ia kemudian dirampas dan keempat-empat suspek ditahan serta dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk disoal-siasat lanjut kerana disyaki memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine.

Sementara itu, keempat-empat suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret tadi diperintahkan supaya direman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Mukhlis Samsudin.

Tempoh reman ke atas keempat-empat suspek akan tamat pada 20 April ini.

  • oleh
  • Advertisement