Anda di sini

Polis buru suspek tawar perkhidmatan 'Enter-Sarawak'

Advertisement
 

KUCHING: Polis telah mengenalpasti seorang wanita disyaki suspek menawarkan perkhidmatan mengisi borang 'Enter Sarawak' untuk memasuki negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata suspek melalui Facebook menawarkan perkhidmatan tersebut dengan bayaran RM130.00 bagi setiap permohonan.

Suspek mendakwa dirinya bekerja dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencara Negeri Sarawak (JBPNS) dan boleh meluluskan permohonan tersebut.

"Bagaimanapun, semakan dengan JPBNS mendapati mereka tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana individu luar untuk bertindak bagi pihak JPBNS dalam sebarang urusan.

"Susulan itu, polis sedang menjalankan siasatan kes ini di bawah seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda.

Sungguhpun begitu, polis setakat ini masih belum dapat mendedahkan identiti suspek.

Tambah Aidi, satu laporan berhubung perkara tersebut diterima pada 12 April baru-baru ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar membuat permohonan 'Enter Sarawak' melalui saluran betul.

Untuk sebarang kemusykilan dan maklumat berkaitan tatacara kemasukan ke Sarawak boleh menghubungi Bilik Operasi JPBN Sarawak di talian 082-443991.

  • oleh
  • Advertisement