Anda di sini

Kerajaan negeri meterai MoU bersama UiTM Cawangan Sabah bantu perkasa IKS Sabah

Advertisement
 Abdul Kadir (kanan) menerima replika geran berjumlah RM40,000 sumbangan dari Kementerian Pembangunan Perindustrian yang disampaikan oleh Thomas (dua kiri) sambil disaksikan oleh Joachim (tengah).
GERAN: Abdul Kadir (kanan) menerima replika geran berjumlah RM40,000 sumbangan dari Kementerian Pembangunan Perindustrian yang disampaikan oleh Thomas (dua kiri) sambil disaksikan oleh Joachim (tengah).

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah meterai perjanjian persefahaman (MoU) sebagai rakan strategik bangunkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kepakaran yang dimiliki Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti UiTM Cawangan Sabah dalam kerjasama itu dilihat sebagai satu kesinambungan bagi membantu melengkapkan inisiatif membangunkan usahawan IKS.

"Saya amat yakin kerjasama ini akan melancarkan lagi usaha yang dirancang oleh kerajaan. Justeru, sebagai langkah awal, sukacita saya umumkan Kementerian Pembangunan Perindustrian berbesar hati menyumbangkan geran berjumlah RM40,000 bagi menjayakan Program 'The Novice' yang dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Sabah.

"Saya dimaklumkan program ini adalah inisiatif UiTM Cawangan Sabah untuk melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar yang mempelajari ilmu keusahawanan secara teori dan mendapat bimbingan secara langsung daripada usahawan-usahawan negeri Sabah yang berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani MoU berkenaan di sini hari ini.

Joachim turut berharap, melalui geran yang disediakan oleh kementeriannya, pelaksanaan program-program sedemikian bukan sahaja dapat melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar malah menjadi pencipta kerjaya (job creator) kepada masyarakat setempat melalui perniagaan-perniagaan yang akan diusahakan.

Menurutnya, usaha itu adalah satu pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada pelajar yang mengikuti program itu.

Selain itu katanya, manfaat program berkenaan juga dirasai oleh masyarakat di luar sana yang mendapat peluang pekerjaan daripada perniagaan yang diusahakan.

Sehubungan itu jelasnya,  pihak universiti bukan sahaja berjaya melahirkan graduan akademik malah, mampu membantu graduan mendapat peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pada majlis itu, Joachim menyaksikan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Thomas Logijin menandatangani MoU bersama Rektor UiTM Cawangan Sabah Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Kadir Rosline.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Mohd Tamin Zainal.
 

  • oleh
  • Advertisement