Anda di sini

Diperuntukkan dana RM60 juta, SME Corp laksana dua program bantu PKS

Advertisement
 Rizal Nainy (kiri) pada sesi ramah mesra bersama media di ibu pejabat SME Corp baru-baru ini.
TAWAR PEMBIAYAAN: Rizal Nainy (kiri) pada sesi ramah mesra bersama media di ibu pejabat SME Corp baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia akan terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui peruntukan dana sebanyak RM60 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, melalui dana tersebut SME Corp akan melaksanakan dua program iaitu Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS dan TUBE@PEMERKASA.

“Skim Pembiayaan Pengukuhan PKS yang bakal memberi tumpuan dalam membantu PKS tempatan terpinggir menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 dengan kadar faedah serendah 3.0 peratus.

“Manakala TUBE@PEMERKASA ialah program yang menyasarkan para belia Bumiputera yang berminat dalam untuk menceburkan diri dalam perniagaan.

“Pembiayaan Pengukuhan PKS akan mula dibuka pada bulan Mei depan manakala TUBE@PEMERKASA akan dilaksanakan pada hujung April ini,” katanya.

Rizal berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama media di ibu pejabat SME Corp baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi SME Corp, Datuk Sri Syed Hussein Al Habshee.

Tambah Rizal lagi, SME Corp akan melaksanakan strategi jangka panjang untuk pembangunan PKS dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang seimbang dan mapan melalui strategi serampang dua mata.

“Strategi pertama adalah untuk meningkatkan penubuhan firma berpertumbuhan tinggi dan inovatif bagi melonjakkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) melalui sokongan dalam automasi, pendigitalan dan kelestarian.

“Strategi kedua pula adalah bagi meningkatkan sumbangan perusahaan mikro (B40) kepada ekonomi,” jelas beliau.

Manakala Syed Hussein dalam ucapannya berkata, sejak ditubuhkan 25 tahun yang lalu, SME Corp telah berjaya membantu 47,943 syarikat PKS, dengan dana berjumlah RM7.2 bilion telah disalurkan.

“Tahun lalu, daripada sejumlah RM87.6 juta peruntukan yang diluluskan, sebanyak 9,247 PKS telah mendapat manfaat.

“Usaha-usaha akan terus dijalankan bagi memperkukuhkan pertumbuhan juga memastikan PKS diberi tumpuan oleh kerajaan,” katanya

  • oleh
  • Advertisement