Anda di sini

Ugut bunuh ibu guna parang dipenjara empat bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan menyambut Ramadan di sebalik tirai besi setelah Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadapnya atas kesalahan mengugut bunuh ibu kandung menggunakan sebilah parang. 

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohamad Johari Rani, 38, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya yang berusia 67 tahun dengan cara mengugut hendak membunuh selain mengacukan sebilah parang kepadanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 12 April lalu, jam 8.30 pagi di kediaman mereka di Kampung Gita Laut, di sini. 

Selain melakukan ugutan jenayah, tertuduh turut mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan siling di ruang dapur serta memecahkan beberapa keping cermin tingkap milik mangsa, juga dilakukannya dalam kejadian sama. 

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan seterusnya dikenakan denda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh mengamuk sambil membawa sebilah parang apabila ditegur oleh mangsa yang mengarahkannya untuk tidak berbuat bising. 

Mangsa berasa takut dan terus masuk ke dalam bilik manakala tertuduh yang memegang sebilah parang di tangannya bertindak mengetuk pintu tersebut sambil mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa. 

Bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya, mangsa terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement