Anda di sini

Syarikat pengeluar makanan, minuman boleh mohon permit import gula bertapis

Advertisement
 

KUCHING: Mana-mana syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong tempatan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan permit mengimport gula bertapis pada bila-bila masa sepanjang tahun. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, permohonan mereka yang memenuhi syarat akan dipertimbang secara teliti oleh Jawatankuasa Penilaian.

Beliau memberitahu jawatankuasa berkenaan diwakili oleh beberapa agensi Kerajaan yang berkaitan temasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pelaburan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. 

“Keutamaan pemberian permit mengimport adalah kepada mana-mana syarikat pengeluar makanan dan minuman serta pemborong yang memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan.

“Perbezaan pada harga gula yang lebih rendah boleh dinikmati oleh syarikat pengeluar makanan dan minuman berdasarkan kuantiti dan kaedah pembelian yang dipersetujui dengan pembekal.

“Ia juga bergantung kepada harga gula mentah di pasaran dunia tanpa campur tangan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Nanta berkata demikian mengulas mengenai laporan akhbar baru-baru ini bahawa terdapat beberapa pihak mendakwa kerajaan kini kurang prihatin sehingga menyebabkan pihak industri makanan dan minuman perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan gula bertapis pada harga RM2.75 per kilogram.

Beliau berkata pada dasarnya, harga jualan gula domestik adalah dikawal pada harga maksimum iaitu sebanyak RM2.85/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.95/kg bagi gula putih bertapis halus bagi jualan secara runcit. 

Manakala harga jualan borong gula untuk kegunaan industri makanan dan minuman pula ditetapkan pada kadar RM2.77/kg bagi gula putih bertapis kasar dan RM2.85/kg bagi gula putih bertapis halus, ujarnya.

“Saya menghargai kprihatinan dan cadangan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Stampin, Yang Berhormat Chong Chieng Jen berkaitan isu subsidi minyak masak 1 kilogram dan gula ini.

“Beliau (Chong) yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, pasti amat memahami polisi Kementerian berkaitan dua komoditi ini.

“Saya juga yakin YB Chong tahu bagaimana anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa berada di lapangan bagi membuat pemantauan dan memastikan bekalan minyak dan gula tidak terputus di pasaran,” katanya.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata kementerian juga komited dalam memastikan setiap peraturan dan ketetapan yang dibuat adalah selaras dengan dasar dan peraturan yang sedang berkuat kuasa. 

Beliau berkata kementerian juga mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan daripada mana-mana pihak bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan supaya semua pihak yang berkepentingan terutamanya rakyat mendapat manfaat yang berterusan.

“Ini bagi membantu kementerian menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan secepat mungkin terhadap syarikat yang terlibat,” katanya.

Advertisement