Anda di sini

Senarai program menarik sempena Ramadan & Syawal di TV AlHijrah

Advertisement
 

SEMPENA meraikan kedatangan bulan Ramadan dan Syawal yang mulia pada tahun ini, saluran TV AlHijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik kepada penonton.

Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tahun ini pihaknya mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir bagi mengajak para penonton menghayati Ramadan dan Syawal sepanjang tempoh dua bulan mendatang.

“TV AlHijrah telah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi ruang rohani penonton Ramadan dan Syawal akan datang.

“Kesemua program ini telah disusun rapi dan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya,”  jelasnya.

Hussamuddin berkata, kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai ini Syawal Terakhir didokong tiga inisiatif utama stesen.

Inisiatif pertama adalah penerbitan dan penyiaran 24 rancangan baru dan istimewa genre dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian serta filem.

Bagi inisiatif kedua pula adalah inisiatif platform digital TV AlHijrah dan ketiga merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.

“Sama-sama kita jadikan stesen ini sebagai stesen pilihan nombor satu seisi keluarga serta ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan kita di akhirat kelak andainya ini adalah Ramadan dan Syawal terakhir kita semua,” katanya.

Antara program-program menarik sempena Ramadan di TV AlHijrah adalah Haflah (Khamis & Jumaat, jam 10 malam bermula 1 April), Omar & Hana (Isnin hingga Sabtu, jam 11.30 pagi bermula 12 April), CAMCA Edisi Ramadan (10 dan 12 April, jam 6.30 petang), Ihya Ramadan (Isnin hingga Ahad, jam 7 petang bermula 13 April) dan E-Kaunter Netizen (Ahad, jam 7.30 malam bermula 18 April).

Tidak hanya itu, AlHijrah turut menyajikan program Hijrah Berselawat (Sabtu, jam 10 malam pada 24 April), Aura Al-Qadar (setiap hari, jam 10.30 malam bermula 28 April), drama ‘Andai Ini Ramadan Terakhir’ (setiap hari, jam 7 malam bermula 13 April), Sebuah Kehidupan (Jumaat & Sabtu, jam 7.30 malam bermula 16 April), Ittabiouni (Isnin hingga Rabu, jam 10 malam bermula 13 April), Al-Farabi (Khamis, jam 5.30 petang bermula 15 April) dan My #HadithTime (Isnin hingga Jumaat, jam 5 petang bermula 1 April).

Bagi program menarik sempena Syawal pula adalah Camca Edisi Syawal (13 Mei, jam 6.30 petang), Hijrah Berselawat (12 Mei, jam 9 malam), Tau Tau Dah Raya (12 Mei, jam 10 malam), Raya, Raya Juga (13 Mei, jam 9 malam), Bioskop Hijrah ‘Hafalan Shalat Delisa’ (13 Mei, jam 10 malam), Haflah Istimewa Syawal (14 Mei, jam 9 malam) dan Bioskop Hijrah ‘Wanita Berkalung Sarban’ (14 Mei jam 10 malam).

TV AlHijrah turut menyiarkan telefilem berjudul ‘Bebenang PKP Anis’ yang mengisahkan kehadiran wabak COVID-19 membawa hikmah yang amat besar buat Anis Kemboja.

Anis Kemboja memikul tanggungjawab untuk menjaga anak Kak Zue kerana pembantu rumah Kak Zue melarikan diri di saat Kak Zue dan suaminya berada di luar negara atas urusan perniagaan.

Bukan itu sahaja, Anis turut menyaksikan hubungan kasih sayang di antara ibu bapanya dan abangnya yang mengalami masalah sebelum ini kembali bertaut akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Telefilem ini dibintangi oleh Lisdawati dan Syafie Naswip bakal ditayangkan pada 15 Mei, jam 9 malam.

Selain itu, saksikan juga telefilem ‘Bapa Posa Anak Raya’ (16 Mei, jam 9 malam), Gema Haflah Istimewa Syawal (22 Mei, jam 9 malam) dan Dokumentari Sudirman Chow Kit Road (16 Mei, jam 6 petang).

Advertisement