Anda di sini

Satu kluster baharu di Sarawak, Kluster Pasai antara dua tamat

Advertisement
 

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini mengisytiharkan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Jalan Puncak Borneo, Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataannya hari ini berkata Kluster Jalan Puncak Borneo, Kuching adalah kluster di tempat kerja yang melibatkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Jalan Puncak Borneo, Kuching.

"Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-19,697 yang merupakan seorang pelatih pusat latihan tersebut yang disaring melalui saringan individu bergejala pada 9 April 2021 di Klinik Kesihatan Kota Sentosa, Kuching. 

"Kes mula mengalami demam pada 8 April 2021 dan disahkan positif COVID-19 pada 12 April 2021. Kes yang berasal dari Perlis telah datang ke Sarawak pada 22 November 2020 dan tmenjalani kuarantin semasa tiba di pusat latihan tersebut," jelasnya.

Menurut JPBNS perebakan jangkitan dalam kalangan pelatih PULAPOL berpunca dari pengaulan rapat dan kurang amalan perjarakan fizikal di antara pelatih yang tinggal di dalam asrama platun dan kompeni sama.

Hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas kontak rapat dan rakan sepelatih kepada kes indeks ini, tambahan 60 kes dikesan positif COVID-19. Sehingga 13 April 2021, sejumlah 111 individu disaring melibatkan kluster ini, tambahnya.

"61 kes dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 50 orang negatif saringan pertama dan tiada kes individu yang menunggu keputusan ujian. Kesemua kes positif melibatkan kluster ini dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dimasukkan ke PKRC di Kuching untuk pengasingan dan rawatan lanjut," katanya.

Pada hari ini juga, JPBNS memaklumkan JKNS mengisytiharkan dua kluster COVID-19 tamat, iaitu Kluster Pasai, Sibu dan Kluster Buloh, Selangau setelah tiada kes baharu dikesan melibatkan kedua-dua kluster berkenaan dalam 28 hari lalu.

Kluster Pasai diisytiharkan pada 9 Januari, yang dikesan melalui saringan kes seorang wanita yang balik dari Johor (kes 1,175) pada 29 Disember 2020.

Sementara itu, JPBNS memaklumkan setakat hari ini, 48 kluster yang masih aktif dan daripada jumlah tersebut, 12 kluster yang melaporkan penambahan kes manakala 36 lagi tidak ada penambahan kes.

Advertisement