Anda di sini

Polis periksa rumah di PKPD

Advertisement
 Polis menjalankan pemeriksaan setiap kenderaan yang keluar masuk di kawasan PKPD Bandar Sri Indah.
PERIKSA: Polis menjalankan pemeriksaan setiap kenderaan yang keluar masuk di kawasan PKPD Bandar Sri Indah.

- Untuk kenal pasti penduduk tinggalkan kediaman sebelum perintah dikuat kuasakan


TAWAU: Polis akan menjalankan pemeriksaan setiap rumah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi mengenal pasti penduduk yang meninggalkan kediamannya sebelum perintah itu dikuat kuasakan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pasukan pemantau akan mengesan setiap penghuni di kawasan terbabit yang bertindak meninggalkan kediaman dan mengelak daripada dikenakan PKPD.

"Kita akan pergi ke setiap rumah dan mendapatkan nama-nama penghuni dalam rumah berkenaan supaya mudah mengesan setiap penduduk di situ.

"Sekiranya mereka didapati berbuat demikian, pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan mengambil tindakan tegas termasuk dikuarantin di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Balung," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media di kawasan PKPD Bandar Sri Indah, di sini.

Menurutnya, pihak polis tahu apabila kerajaan mengisytiharkan PKPD di sesuatu lokaliti, pasti ada segelintir penduduk bertindak keluar dari rumah mereka.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka kerana tujuan PKPD dilaksanakan untuk membendung penularan wabak COVID-19.

"Pihak berkuasa mahukan setiap penduduk di lokaliti itu menjalankan ujian saringan supaya sekiranya mereka didapati positif COVID-19, ianya tidak merebak dengan lebih luas lagi," katanya.

Dalam pada itu katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 3 April lalu, polis sudah mengeluarkan empat kompaun ke atas pemilik premis dan penduduk Tawau.

"Nilai kompaun berkenaan iaitu dua RM10,000 dan masing-masing satu RM4,000 dan RM1,500 diatas pelbagai kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

"Antaranya kesalahan premis beroperasi tanpa kelulusan, pemandu kenderaan yang membawa penumpang lebih dua orang, bot membawa penumpang lebih kapasiti dibenarkan dan tidak memakai pelitup muka," katanya.

Peter berkata, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan sentiasa memantau selama 24 jam di kawasan PKPD.

"Kita mempunyai kekuatan sebanyak 384 anggota yang bertugas di 13 lokaliti PKPD di daerah Tawau dan mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan SOP," katanya.

Advertisement