Anda di sini

Petugas hotel perlu diberi keutamaan terima vaksin COVID-19

Advertisement
 Hajiji bergambar bersama Chan (kiri) dan Pengurus F&B Sabah Hotel Suemiati Sibu (kanan).
VAKSIN: Hajiji bergambar bersama Chan (kiri) dan Pengurus F&B Sabah Hotel Suemiati Sibu (kanan).

SANDAKAN: Petugas hotel meminta kerajaan negeri Sabah mempertimbangkan supaya dapat memberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin awal.

Penolong Pengurus Hotel di Sabah Hotel Sandakan Chan Tzun Hei membangkitkan isu-isu yang dihadapi oleh pengusaha perhotelan di Sabah kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor. 

Antara perkara yang dibincangkan Chan bersama Hajiji termasuk program vaksin COVID-19 yang sedang dijalankan di seluruh negara.

Chan meminta pertimbangan kerajaan negeri supaya dapat memberi keutamaan kepada semua petugas-petugas hotel dalam mendapat vaksin awal.

Katanya, langkah itu sebagai salah satu usaha bagi membantu industri perhotelan dan juga menggalakan pelancongan domestik.

"Dalam prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), pengusaha perhotelan disenaraikan sebagai salah satu aktiviti ‘essential services’.

"Justeru, kami turut dikira sebagai petugas barisan hadapan kerana setiap hari kami berkhidmat untuk tetamu yang datang dari pelbagai tempat untuk menginap atau menjamu selera di hotel,” katanya di sini. 

Beliau berkata, sekiranya petugas-petugas hotel diberikan vaksin, bukan sahaja rikiso kebolehjangkitan COVID-19 petugas dapat dikurangkan, malah ia turut memberi keyakinan kepada pengunjung dan tetamu hotel yang mereka kunjungi adalah tempat yang selamat dan berisiko rendah.

Menurutnya, usaha itu juga dapat memberi kesan dan imej yang amat baik untuk pengendali hotel dalam merancakkan kunjungan pelancong domestik, menggalakkan pelancongan gelembung hijau (green bubble).

Selain itu katanya, ia membantu untuk mengurangkan kesan kerugian yang dihadapi sejak pandemik ini bermula di Malaysia sehingga sempadan antarabangsa ditutup lebih setahun.

Dalam pada itu, Chan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri dalam memberikan geran-geran untuk pengusaha pelancongan melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi membantu dan meringankan bebanan aliran kewangan. 

"Di samping itu, Pelan Subsidi Upah (PSU) turut banyak membantu untuk mengurangkan kos upah khususnya untuk hotel dengan kapasiti pekerja 100 hingga 150 orang bergantung kepada saiz hotel,” katanya.

Namun, beliau menegaskan sebagai ahli dalam Persatuan Hotel Malaysia (Malaysian Association of Hotels (MAH), pihak hotel turut mengharapkan lebih banyak bantuan dapat diberikan kepada pengusaha hotel kerana industri pelancongan dan hotel antara industri yang mengalami kerugian dan impak yang paling teruk. 

"Antara bantuan yang diharapkan adalah sambungan PSU sehingga Disember 2021, tambahkan potongan pembayaran bil elektrik dan air, pengecualian pembayaran lesen dan cukai yang berkaitan seperti alkohol serta hiburan," katanya.

Chan turut menjelaskan, hasil perjumpaan bersama dengan Ketua Menteri, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan program vaksin untuk petugas hotel dan berjanji akan membawa perkara ini untuk dibincangkan dengan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah dan Kabinet.

Sebelum berangkat pulang, Hajiji berkesempatan mengambil gambar bersama-sama dengan pengurusan atasan Sabah Hotel Sandakan di lobi utama dengan mural baharu yang dihasilkan oleh artis tempatan Sandakan bertemakan keindahan flora dan fauna di Sabah. 

Beliau turut memuji usaha Sabah Hotel Sandakan untuk terus maju dan mencari idea baharu untuk menarik pelancong biarpun dalam waktu yang susah ini.
 

  • oleh
  • Advertisement